Anak Tak Respon Pada Nama: Nak Buat Apa?

Bila panggil nama anak, anak tak respon atau berpaling.

Risau, bukan?

Kanak-kanak yang mempunyai kelewatan dalam perkembangan contohnya seperti autism, kebanyakannya tidak memberikan respon kepada nama secara konsisten. Ini menyukarkan kita untuk menarik perhatian mereka dan akan menyukarkan mereka untuk bersosial kerana mereka kurang sedar yang ada orang lain sedang bercakap dengan mereka. Tapi perlu diingat bahawa kanak-kanak yang tidak memberikan respon pada nama tidak semestinya mempunyai autism.
respon 5
Bagaimana mengajar anak untuk memberikan respon pada nama mereka? Berikut adalah langkah-langkah yang boleh ada lakukan di rumah:
 

  1. Memberi respon dalam situasi berasingan
  • Dalam langkah yang pertama ini, kanak-kanak diajar untuk memberikan respon di dalam situasi yang kurang gangguan seperti mainan, tv, gajet dan lain-lain. Anda boleh meletakkan mereka di dalam sebuah bilik atau di meja makan yang kurang terdapat gangguan.
  • Duduk bersama anak anda dan sediakan sesuatu yang disukai anak anda seperti mainan, makanan, peluk, geletek dan sebagainya untuk dijadikan peneguhan atau hadiah jika anak memberikan respon kepada nama
  • Tunggu sehingga kanak-kanak berpusing atau pandang ke arah lain dan sebut namanya. Jika anak melihat ke arah anda, berikan hadiah yang telah anda pilih tadi.
  • Setiap kali anda memberikan hadiah kepada mereka, jangan lupa untuk memberitahu mereka sebab anda memberi hadiah. Seperti “pandai.. adik tgk mama”
  • Sebut nama beberapa kali. Jika kanak-kanak tidak memberikan respon anda boleh cuba untuk melambai, atau mengetuk meja atau menyentuh tangan atau bahu mereka untuk menarik perhatian.
  • Lakukan latihan berulang kali sehingga kanak-kanak dapt memberikan respon sebanyak 80% konsisten.

respon 1
 

  1. Memberi respon dalam situasi terkawal
  • Setelah kanak-kanak dapat memberikan respon dalam keadaan yang kurang gangguan, anda boleh teruskan latihan di tempat yang lebih banyak gangguan seperti di ruang tamu yang mana terdapat tv dan mainan lain di sekitar
  • Lakukan langkah pengajaran yang sama seperti yang pertama.
  • Jika kanak-kanak tidak memberi respon, tinggikan atau kuatkan suara anda untuk menarik perhatian mereka. Beri hadiah jika mereka memberikan respon.
  • Biarkan mereka bermain seketika dengan mainan atau hadiah yang diberi. Ini adalah untuk melatih mereka untuk memberikan tumpuan pada perkara lain dan keluar daripada situasi fokus 1 hala.
  • Ulang latihan sehingga anda mendapat 80% respon yang konsisten.

respon 2
 

  1. Memberi respon dalam situasi tidak terkawal
  • Sekarang, mereka perlu dilatih untuk sentiasa bersedia dalam semua situasi.
  • Tunggu sehingga anak anda sibuk melakukan sesuatu, seperti sedang bermain atau sedang melihat buku dan sebagainya. Pergi berdekatan anak anda dan panggil nama mereka. Tunggu seketika dan lihat sama ada mereka memberi respon atau tidak. Jika mereka memberi respon, berikan hadiah seperti sebelum ini dan beritahu sebab mereka mendapat hadiah tersebut. Jika tiada respon, kuatkan suara anda dan lihat bagaimana mereka memberi respon pada suara yang berbeza.
  • Teruskan latihan. Jika anak sudah boleh memberi respon dalam jarak yang dekat, anda boleh tambahkan jarak seperti memanggil dari jauh seperti dari dapur, luar rumah dan sebagainya.

respon 3
 
Teruskan latihan secara berulang-ulang. Tapi perlu diingat, jangan mengharapkan respon yang sempurna dari anak anda kerana biasanya apabila kanak-kanak terlalu fokus dengan sesuatu, mereka sukar untuk memberikan respon.

SLP Aishah

About Aishah Kassim

"Knowledge is Never a Waste" Kepakaran saya adalah dalam memberikan khidmat nasihat bagi meningkatkan kemahiran BERKOMUNIKASI bagi KANAK-KANAK dan orang DEWASA. Bersama-sama berkongsi PENGETAHUAN dan PENGALAMAN..:)

COMMENTS

Leave a Comment