SUSU SEBABKAN ANAK KURANG MAKAN?

SUSU SEBABKAN ANAK KURANG MAKAN?

 

Hai mommy daddy! Mesti ramai yang susah hati bila anak kesayangan anda kurang makan kan? Dah masak macam-macam makanan tapi anak tetap tak nak makan. Tapi kalau bagi dia susu, boleh pulak anak minum berbotol-botol! Ada yang terfikir tak sama ada pengambilan susu ni boleh jadi salah satu sebab anak kurang makan?

 

Susu mengandungi karbohidrat, lemak, protein, vitamin dan mineral. Bagi bayi yang berusia 6 bulan ke bawah, makanan utama mereka adalah daripada susu. Ini kerana badan mereka masih belum dapat menghadam makanan dengan baik selain dari susu. Untuk usia 6 bulan hingga 2 tahun pula, makanan utamanya adalah daripada susu dan makanan lain. Manakala, bagi kanak-kanak yang berusia 2 tahun keatas, susu bukan lagi merupakan makanan utama untuk anak. Tubuh badan anak semakin membesar, dengan minum susu sahaja tidak mampu untuk menampung keperluan tubuh mereka. Tak salah sekiranya anda nak bagi anak minum susu pada usia ini, tetapi kuantiti yang diberikan itu hanya sekadar untuk mengalas perut.

 

 

Saya pernah jumpa kanak-kanak berumur 4 tahun di pusat terapi kami yang mempunyai berat badan berlebihan dan hanya minum susu formula, makan biskut dan nugget. Makanan lain memang anaknya tak nak makan. Daripada informasi yang diberikan oleh ibunya semasa sesi diskusi, ibubapa kanak-kanak ini perlu sediakan sebanyak 15kg susu sebulan untuk anaknya! Anda terkejut? Saya pasti ibubapa yang menghadapi masalah yang sama telah lalui perkara ini. Jadi, selepas sesi perbincangan dalam memahami masalah yang dihadapi kanak-kanak ini, antara nasihat yang saya berikan padanya selain daripada kanak-kanak ini perlu melakukan aktiviti-aktiviti terapi yang dicadangkan oleh terapis kami adalah:

 

a) Kurangkan pemberian susu pada anak sedikit demi sedikit / separuh daripada jumlah yang biasanya diambil. Jangan terus bertindak drastik

 

Contohnya: Sebelum ini anda beri anak 6 BOTOL susu sehari, sekarang anda cuba kurangkan kepada 5 BOTOL dahulu ataupun jika sebelum ini anda sediakan susu SATU BOTOL PENUH, sekarang cuba SEPARUHKAN kuantitinya.

 

b) Beri anak susu 1 jam – 2 jam sebelum makan

 

Kenapa perlu bagi macam ni? Sebabnya, kita tak nak anak terlalu kenyang dengan susu apabila tiba waktu makan. Kita tak mahu perut anak penuh dengan susu sahaja. Kalau perut dah penuh dengan susu dan buat anak rasa kenyang, macam mana dia nak makan lagi? Kita yang dewasa ni pun tak lalu nak makan kalau perut dah kenyang. Oleh itu, anda cuba jarakkan dulu pengambilan susu untuk anak dengan waktu makan.

 

c) Tetapkan waktu makan untuk anak

 

Apa kesan bila kita tetapkan waktu makan anak ni? Ianya dapat membantu memastikan tubuh badan dan minda anak bersedia untuk menerima makanan pada waktu tersebut dan dapat mengelakkan anak daripada menjadi terlalu lapar sehingga mereka akan minta ibubapa untuk buatkan susu.

 

d) Tukarkan pada susu fresh/ full cream/ low fat milk

 

Anda boleh cuba gantikan dengan susu-susu ini. Tapi jangan tukar secara mendadak tau. Full cream milk mempunyai tinggi kandungan protein, lemak, karbohidrat, vitamin dan mineral. Anda boleh bagi pada anak yang usia atas 1 tahun. Untuk fresh milk pun sama, anda boleh bagi pada anak yang berusia 1 tahun ke atas sahaja. Bagi kanak-kanak yang berusia 2 tahun ke atas yang mempunyai berat badan yang berlebihan ni dicadangkan untuk beralih kepada susu rendah lemak sebab kita tak nak pertambahan kalorinya semakin banyak disebabkan dapat dari susu tu.

 

Alhamdulillah, setelah mengikuti nasihat-nasihat yang diberikan padanya serta melakukan aktiviti-aktiviti terapi yang dicadangakan oleh terapis kami di sini, kanak-kanak tersebut dah mampu kurangkan pengambilan susu dan yang paling penting adalah kanak-kanak ini dah mula nak makan makanan lain selain daripada susu, biskut & nugget.

 

Jadi nasihat saya pada ibubapa diluar sana, JANGAN BERTINDAK DRASTIK! Terus tak nak bagi anak susu. Nanti anak tak dapat terima tindakan anda ni dan mula menangis, menjerit-jerit, membaling barang kerana dia mahu anda beri apa yang dia nak. Ibubapa pula yang akan stress dengan perangai anak ni dan akan mula putus asa. Anda perlu ingat, nak ubah sesuatu perkara yang dah lama menjadi kebiasaan ni akan mengambil masa dan memerlukan kesabaran yang sangat tinggi. Jadi jangan putus asa! Kalau ANDA TAK CUBA, memang TAK AKAN ADA HASIL. Tapi kalau ANDA CUBA, PELUANG UNTUK BERJAYA TU SENTIASA ADA!

 

Nutritionist Iza

Aishah Kassim Academy

 

mm

About Noriza Dahalan

Nutritionist di Aishah Kassim Academy. Mendapat kelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pemakanan dengan Kepujian daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2016. Telah berkecimpung dalam bidang pemakanan kanak-kanak yang mempunyai masalah seperti picky eater, hiperaktif, berlebihan & kurang berat badan di Aishah Kassim Academy pada awal tahun 2018.