Gag Reflex? Jangan Takut Bagi Anak Makan!

Hai mommy daddy! Saya pasti ramai diluar sana sangat teruja dan tak sabar nak memperkenalkan makanan pelengkap kepada bayi mereka. Namun begitu, pasti ada juga timbul perasaan risau dan gelisah bila nak mula berikan makanan pada anak. Anda pernah tak ada pengalaman seperti anak menunjukkan reaksi nak termuntah atau tercekik semasa anda mula-mula perkenalkan makanan pelengkap dalam tekstur tertentu kepada mereka? Mesti rasa takut sangat nak bagi anak makan selepas dapat pengalaman macam ni kan?

Kesudahannya, anda terus berikan anak makan makanan dalam satu tekstur sahaja kerana takut pengalaman ini berulang lagi. Anak pun tak dapat nak melatih oral motor mereka untuk bantu mereka bercakap. Kebarangkalian anak menjadi picky eater juga meningkat. Anda jangan terlalu risau dan berputus asa. Jom saya nak kongsikan cara untuk anda kenalpasti sama ada anak anda ini mengalami gag reflex atau tercekik.

KENALPASTI SAMA ADA ANAK ANDA DAH BERSEDIA UNTUK MAKAN

Pertama sekali, anda perlu kenalpasti sama ada anak anda dah bersedia atau tidak untuk diberikan makan makanan selain daripada susu. Macam mana nak tahu anak bersedia ke belum? Cuba semak ciri-ciri ini pada anak:

  1. Bayi anda dah berusia 6 bulan ke atas.
  2. Bayi anda boleh duduk dengan pertolongan yang minimal, sama ada di lantai, dikerusi atau di tempat duduk bayi.
  3. Bayi anda mampu kedepankan badannya ketika duduk.
  4. Bayi anda boleh mengangkat kepalanya serta leher dan mengekalkan posisi tersebut. (Ianya dapat membantu mereka untuk menelan dengan lebih mudah mengurangkan risiko tercekik makanan)
  5. Bayi anda membuka mulut ketika makanan datang kearahnya.
  6. Bayi menunjukkan minat untuk makan. (Contohnya ketika dia melihat anda makan, dia cuba mencapai makanan, mencari makanan dan kelihatan seperti sangat teruja untuk makan)

 

ANAK ANDA GAGGING ATAU TERCEKIK?

Salah satu kebimbangan terbesar ibu bapa adalah kemungkinan untuk bayi mereka muntah, tersedak atau tercekik. Sukar bagi ibu bapa untuk membezakan sekiranya anak sedang gagging (merupakan reaksi normal dari proses permulaan untuk anak makan) atau tercekik (merbahaya dan boleh membawa maut). Di sini saya nak menguraikan perbezaan antara gagging dan tercekik yang terjadi pada bayi anda.


Apa itu gag reflex?

Gagging adalah reaksi normal yang terjadi semasa proses permulaan untuk anak makan. Ianya terjadi secara semula jadi semasa tubuh bayi anda cuba untuk melindungi dirinya dari tercekik. Lidah anak akan automatik menolak makanan ke hadapan. Oleh yang demikian, makanan tidak akan mencapai tekak sama sekali dan akan terkeluar dari mulut mereka. Ini adalah mekanisme perlindungan diri, yang terhasil bagi mengelakkan mereka daripada tercekik. Oleh itu sekiranya anak batuk dan menunjukkan riaksi seperti termuntah, ia adalah perkara biasa yang terjadi pada beberapa bulan pertama semasa proses anda perkenalkan makanan pelengkap yang mampunyai tekstur baru selain daripada susu. Sekiranya anak diberi makan dengan saiz suapan yang banyak juga boleh menyebabkan mereka gagging kerana tidak dapat menahan dan mengawal makanan daripada terkeluar dari mulut. Makan makanan selain daripada susu adalah kemahiran baru untuk bayi anda belajar dan ianya memerlukan latihan yang berulang kali supaya mereka dapat membiasakan diri dengan kepelbagaian tekstur makanan yang diberikan kepada mereka.

 

Ciri-ciri anak sedang gagging?

Ketika bayi anda tersedak, mereka akan batuk dengan kuat, mengeluarkan bunyi seperti menggeram atau meneran serta bunyi seperti nak termuntah. Muka bayi pula akan menjadi merah. Selain itu, lidah bayi anda akan ke depan, dan mereka akan mengeluarkan makanan yang mereka makan atau memuntahkan semula makanan tersebut. Anda perlu tenang dan sentiasa ingat bahawa ianya adalah perkara biasa terutama anak dalam proses diperkenalkan makanan selain susu. Sekiranya anak cuba mengeluarkan makanan, anda perlu elakkan daripada cuba menolaknya masuk lebih jauh ke kerongkong anak. Membantu menolak makanan masuk ke dalam mulut pada ketika ini akan memburukkan lagi keadaan, malah boleh menyebabkan anak anda tercekik.

Apa itu tercekik?

Tercekik adalah tanda bahawa saluran pernafasan bayi anda telah tersumbat. Ianya terjadi kerana makanan yang dimakan oleh anak anda telah menyekat sebahagian atau sepenuhnya saluran pernafasan mereka dan gag reflex mereka tidak berjaya untuk melindungi diri mereka daripada tercekik. Tercekik menunjukkan bayi anda berada dalam keadaan yang bahaya dan ianya boleh mengancam nyawa.

 

Ciri-ciri anak sedang tercekik?

Sekiranya bayi anda tercekik, mereka tidak akan membuat bunyi seperti gagging. Biasanya, apabila anak anda tercekik, tiada bunyi kedengaran. Anak anda mungkin tidak dapat menangis, batuk atau bernafas ketika mereka tercekik. Malah, anak anda akan menjadi biru kerana tidak dapat bernafas disebabkan saluran pernafasan mereka tersekat. Oleh itu, sentiasa awasi anak ketika mereka makan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku kerana tercekik adalah berbahaya dan memerlukan tindakkan yang cepat.

 

CARA KURANGKAN RISIKO UNTUK ANAK TERCEKIK?

Terdapat beberapa cara yang anda boleh lakukan bagi mengurangkan risiko untuk anak anda tercekik ketika anda perkenalkan makanan kepada mereka. Antaranya adalah:

  1. Pastikan bayi anda telah menunjukkan kesemua ciri-ciri yang mana dia telah bersedia diberikan untuk makan makanan pelengkap selain daripada susu.
  2. Sentiasa awasi bayi anda ketika makan.
  3. Pastikan saiz suapan makanan yang diberikan pada anda tidak terlalu banyak.
  4. Berikan beberapa dan ­­sedikit makanan ke dalam pinggan makan anak pada satu masa.
  5. Pastikan bayi anda dapat duduk dengan baik seperti duduk diatas kerusi makan bayi. Tarik kerusi makan bayi anda ke tepi meja anda. Cara ini dapat memastikan makanannya berada tepat di hadapannya dan dapat membantu anda memerhatikannya anak dengan lebih dekat.
  6. Perkenalkan pelbagai tekstur makanan bagi membantu bayi anda belajar mengunyah dengan betul.
  7. Sekiranya ingin memberi anak makan sayur yang agak keras seperti lobak merah, pastikan anda melembutkannya dahulu dengan cara stim atau rebus.
  8. Potong makanan dalam saiz yang mudah dipegang (mengikut saiz jejari, panjang dan nipis). Apabila anak anda dah boleh memegang menggunakan jari, anda boleh beri makanan dalam potongan finger foods kepada saiz yang lebih kecil (pastikan ianya lembut dan sentiasa pantau anak anda ketika mereka makan). Ianya dapat mengelakkan anak tercekik dan makanan tersebut lebih mudah diambil dan dimakan.
  9. Elakkan memberi anak makan makanan yang keras, bulat, dan dalam potongan yang besar.
  10. Jangan berikan apa-apa kepada anak untuk makan atau minum semasa mereka berjalan, bermain, atau duduk di dalam kereta atau kereta sorong yang sedang bergerak.

 

Sebagai ibubapa, sudah tentu anda mahukan yang terbaik buat anak yang tersayang. Anda pasti tidak mahu berlaku kejadian yang tidak diingini kepada mereka. Jangan kerana anak termuntah, anda putus asa untuk mencuba. Oleh itu, pastikan anda faham dan dapat membezakan sama anak sedang gagging atau tercekik. Saya yakin anda ibubapa yang bijak dan mahukan yang terbaik untuk anak. Diharap dengan penerangan ini, sedikit sebanyak dapat memberi informasi pada anda semua. Anda semua adalah ibubapa yang bijak!

mm

About Noriza Dahalan

Nutritionist di Aishah Kassim Academy. Mendapat kelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pemakanan dengan Kepujian daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2016. Telah berkecimpung dalam bidang pemakanan kanak-kanak yang mempunyai masalah seperti picky eater, hiperaktif, berlebihan & kurang berat badan di Aishah Kassim Academy pada awal tahun 2018.

Leave a Comment