ANAK ANDA PICKY EATER? APA NAK BUAT?

 

“Anak saya tak mahu makan nasi atau makanan yang lain, setiap hari dia hanya nak makan ayam goreng”, “Anak saya tak suka makanan yang lembik dan melekit, dia suka makan makanan yang kering dan rangup macam keropok” atau “Anak saya tak mahu makan, dia hanya mahu minum susu”. Setiap hari kitaran makanan yang sama sahaja terjadi apabila tibanya waktu makan. Ibubapa cuba mengubah kitaran makanan anak, tetapi anak sampai sanggup berlapar dan mengamuk kalau makanan kegemaran mereka tidak dihidang. Setiap kali tiba waktu makan, akan berlaku perang emosi antara ibubapa dan anak. Lalu pelbagai persoalan mula muncul difikiran ibubapa, “Kenapa anak saya terlalu memilih makanan?”,” Kenapa anak saya hanya mahu makan makanan yang sama sahaja setiap hari?” atau “Kenapa anak saya jadi begini?”. Untuk pengetahuan anda, kondisi anak seperti inilah yang dinamakan Picky Eater.

 

Masalah ini dapat dilihat pada kanak-kanak yang berusia 3 tahun ke atas. Sekiranya anak bawah 3 tahun menunjukkan ciri-ciri ini, ia tidak bererti mereka adalah picky eater kerana pada usia tersebut, kanak-kanak masih dalam tempoh explore makanan untuk kenalpasti makanan apa yang mereka suka dan tak suka. Sebab itu, semasa kanak-kanak bawah usia 3 tahun, ibubapa perlu perkenalkan pelbagai jenis kumpulan makanan (karbohidrat, protein, lemak, sayur dan buah) yang ada pelbagai jenis bau, rasa, tekstur, warna, suhu yang berlainan kepada mereka bagi mengelakkan anak memilih makanan.

 

Ciri-ciri yang dapat kita lihat pada kanak-kanak yang ada masalah picky eater ini adalah:

1. Makan kurang dari 20 jenis makanan.

2. Tiada kepelbagaian dalam diet harian mereka (makanan dari kumpulan karbohidrat, protein, lemak, sayur & buah).

3. Makan sedikit sahaja makanan.

4. Makan apa yang mereka suka sahaja.

5. Tidak suka mencuba makanan yang baru diperkenalkan (food neophobia) .

6. Suka makan makanan yang dimasak dengan cara yang sama setiap hari (goreng, kukus, rebus, panggang, tumis dll).

7. Suka makan dalam tekstur tertentu sahaja (contoh: rangup, lembik, cair dll).

8. Suka makanan dalam suhu tertentu (contoh: panas, sejuk dll).

9. Suka pada makanan yang mempunyai warna tertentu sahaja (contoh: putih, kuning dll).

10. Suka makanan yang mempunyai rasa yang tertentu (contoh: manis, masam dll).

11. Tak suka makan makanan yang sebelum ini pernah menjadi kesukaan mereka.

12. Makanan mesti dihidang dalam cara dan rupa yang sama setiap hari.

13. Hanya makan makanan dari kedai atau jenama tertentu sahaja.

14. Mengamuk, muntah, menangis sekiranya diberi makanan yang lain dari kebiasaan.

15. Sukar untuk gigit, kunyah atau menelan sesuatu makanan.

16. Makan makanan yang bukan makanan (PICA: contoh kertas, najis, pasir dll).

 

Kanak-kanak yang mengalami masalah memilih makanan ini boleh mendapat risiko kekurangan berat badan lalu membawa kepada masalah kekurangan nutrisi kerana diet mereka tidak melibatkan kumpulan makanan yang terdapat dalam piramid makanan (karbohirat, protein, lemak, sayur dan buah). Kekurangan nutrisi pada kanak-kanak adalah perkara yang perlu dipandang serius kerana ia dapat memberi kesan pada proses perkembangan otak dan tubuh badan kanak- kanak. Selain itu, masalah ini juga boleh menyebabkan kanak-kanak ini mudah diserang penyakit akibat daripada kekurangan nutrisi.

 

Jadi, cara yang boleh dilakukan untuk membantu ibu bapa yang mempunyai anak picky eater untuk makan adalah:

 

(a) Cuba gunakan 6 LANGKAH untuk perkenalkan makanan pada kanak-kanak:

 

LANGKAH 1: Bantu anak untuk ada toleransi atau penerimaan terhadap makanan yang diberikan tanpa perlu memegang atau makan makanan tersebut lagi. Bagi anak anda tengok sahaja makanan tersebut dahulu, biar anak tahu kewujudan makanan itu dan bina kepercayaan pada makanan yang dilihat.

 

Level 1: Letakkan makanan yang nak diperkenalkan jauh dari pinggan anak (Contohnya di hujung meja)

Level 2: Letak makanan yang nak diperkenalkan di tengah meja makan anak atau di pinggan makan ahli keluarga yang makan sekali dengan anak

Level 3: Letak makanan di hadapan pinggan anak

Level 4: Letak makanan dalam pinggan anak.

 

LANGKAH 2: Ajak anak berinteraksi dengan makanan tanpa perlu menyentuh makanan tu lagi. Contohnya anda ajak anak sendukkan nasi ke pinggan dan beri pada ahli keluarga yang makan bersamanya ketika itu. Anda boleh ajak anak main senduk-senduk makanan dari pinggan ke pinggan yang lain. Kanak-kanak sangat suka pada perkara yang menyeronokkan dan melibatkan diri mereka. Lama-kelamaan mudah untuk anak suka dan selesa pada makanan yang diperkenalkan pada mereka ini.

 

LANGKAH 3: Ajar anak untuk menerima bau makanan. Contohnya anda letakkan ayam di tengah meja. Kemudian bila anda nampak anak macam selesa dengan kewujudan ayam tersebut, anda boleh ajak anak bau sama-sama dengan anda. “Emmmm sedap bau ayam ni! Mesti sedap ni! Jom bau sama-sama dengan mama nak?”. Anda kena nampak bersungguh masa cakap tu supaya dapat tambah keyakinan dan kepercayaan anak pada makanan tersebut.

 

LANGKAH 4: Ajak anak sentuh makanan. Bila anda nampak anak anda dah dapat lakukan ketiga-tiga langkah di atas, anda boleh mula langkah 4 ini. Contohnya anda nak perkenalkan nasi pada anak, anda boleh calit sedikit nasi tu pada anggota badan anak yang jauh dari mulutnya. Lama kelamaan, dekatkan calitan tu pada bahagian mulut anak.

 

Level 1: Calit di bahagian kaki

Level 2: Calit di bahagian betis

Level 3: Calit di bahagian lutut

Level 4: Calit di bahagian peha

Level 5: Calit di bahagian tangan

Level 6: Calit di bahagian lengan

Level 7: Calit di bahagian bahu

Level 8: Calit di bahagian leher

Level 9: Calit di bahagian pipi

Level 10: Calit di bahagian dagu.

 

Beri peluang untuk anak main-main dengan makanan tu dulu. Bagi anak yang boleh sentuh makanan ni, mereka mungkin akan ramas, baling, tepuk makanan yang ada dipinggan makan mereka. Anda jangan risau, ini salah satu cara mereka nak buat diri mereka selesa dan percaya pada makanan yang disentuh tu. Selain itu, anda boleh buat aktiviti sama-sama dengan anak seperti ajak anak basuh beras sama-sama, rendam bihun dalam air, potong buah tembikai dll. Libatkan anak dalam proses penyediaan makanan kerana kanak-kanak sangat suka pada sesuatu yang melibatkan diri mereka.

 

LANGKAH 5: Ajak anak untuk rasa makanan tu sama-sama. Contoh anda nak ajar anak untuk rasa nasi. Jangan bagi banyak sangat. Ambil sedikit dahulu. Ajak anak untuk masukkan nasi tu ke dalam mulut dan kemam sekejap. Kemudian luahkan ke dalam bekas yang lain. Untuk permulaan, kalau anak tak kemam nasi dalam mulut lama-lama pun tak apa kerana kita nak ajar supaya bahagian dalam mulutnya terbiasa dengan rasa dan bentuk nasi tu. Kemudian anda boleh ajar anak untuk kunyahkan nasi tu. Boleh ajar anak kunyah sebanyak 2 ke 3 kali. Kalau anak keluarkan semula makanan yang telah dikunyah tu tak apa. Jangan risau. Cuba je lagi. Secara tidak langsung, anak akan belajar untuk telan nasi tu sedikit demi sedikit. Kalau nak anak makan bihun atau spaghetti, anda boleh bagi sehelai dulu pada anak untuk rasa sama-sama dengan anda. Kalau dah berjaya, anda boleh teruskan cara yang sama dan cuba tambah kuantitinya.

 

LANGKAH 6: Bila anak dah berjaya melalui semua langkah ini, anda dah boleh hidangkan makanan dan anak pun akan mula MAKAN makanan yang diberi padanya.

 

(b) Sekiranya anak dapat menerima kewujudan makanan baru, anda boleh cuba hidangkan makanan tersebut bersama-sama makanan yang anak anda sukai di dalam pinggan. Letak dalam kuantiti yang sikit dahulu. Kalau anak tak sentuh atau makan lagi makanan tu pun tak apa. Biar anak lihat makanan tu banyak kali. Kanak-kanak akan cuba makan sesuatu makanan apabila diperkenalkan padanya 15-20 kali. Ada yang perlukan lebih dari itu. Jadi anda jangan risau. Tak sia-sia pun usaha anda hidangkan makanan tu pada anak, meskipun anak tak menjamah makanan tersebut.

 

(c) Makanan yang ingin diperkenalkan disediakan dalam bentuk yang sama seperti makanan yang disukai oleh anak supaya dapat menarik minat anak untuk makan. Contohnya anak suka makan nugget. Anda cuba buat goreng nasi yang dikepal supaya dapat teksture crunchy seperti nugget. Memang kena kreatif untuk mereka menu untuk anak yang ada masalah memilih makanan ini.

 

(d) Elakkan daripada memberi gadget pada anak ketika waktu makan supaya anak dapat melihat, sedar dan dapat fokus pada makanan yang masuk ke dalam mulutnya.

 

(e) Elakkan daripada memberi terlalu banyak pilihan makanan semasa makan kepada anak. Cara ini dapat megelakkan anak untuk memilih makanan dan hanya boleh makan makanan yang dihidangkan sahaja.

 

(f) Elakkan dari menggunakan pinggan saiz bagi orang dewasa. Gunakan pinggan dan perkakas yang sesuai untuk hidangan kanak-kanak yang mempunyai rupa yang menarik. Cara ini dapat membantu untuk menarik perhatian dan memberi keseronokkan pada anak ketika waktu makan.

 

(g) Banyakkan buat aktiviti yang melibatkan sensori. Contohnya masukkan spaghetti dalam cawan/botol, cari mainan dalam pasir/tepung, tuang air dalam cawan, tampal kapas pada gambar kambing dll. Aktiviti-aktiviti sensori yang dibuat ini juga dapat membantu anak yang picky eater ini sebab ianya membantu merangsang deria-deria mereka.

 

(h) Berikan pujian pada anak anda apabila mereka telah berjaya mencuba untuk makan makanan baru.

 

Apa yang penting di sini, ibubapa memang perlu banyak bersabar dan sentiasa konsisten dalam usaha untuk bantu anak yang ada masalah picky eater ini. Hasil yang anda impikan semuanya bergantung pada usaha dan kesabaran anda. Apa yang saya boleh katakan, setiap ibubapa yang saya pernah jumpa dan terus menerus berusaha untuk bantu anak mereka, memang akan nampak perubahan yang baik pada anak. Saya tahu anda penat, rasa nak putus asa, rasa nak jerit, rasa nak nangis bila penat masak tapi anak tak makan dan ditambah lagi dengan anak sepahkan makanan. Tapi percaya la, setiap usaha anda dah buat untuk anak anda, tak pernah satu pun benda yang sia-sia. Anda ibubapa yang terbaik untuk anak. Kalau anak boleh faham dan bagi tahu anda, mesti mereka akan cakap “TERIMA KASIH MAMA, TERIMA KASIH PAPA SEBAB BERUSAHA UNTUK BANTU SAYA.. SAYA SAYANG MAMA.. SAYA SAYANG PAPA”. Saya di sini akan cuba sampaikan informasi-informasi yang dapat bantu anda semua ya. Semoga perkongsian saya ini dapat beri manfaat buat semua yang membaca. Teruskan usaha anda dan cuba faham serta gunakan cara yang saya ajar bagi anak picky eater ini! Semoga berjaya!

 

Nutritionist Iza

Aishah Kassim Academy

mm

About Noriza Dahalan

Nutritionist di Aishah Kassim Academy. Mendapat kelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pemakanan dengan Kepujian daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2016. Telah berkecimpung dalam bidang pemakanan kanak-kanak yang mempunyai masalah seperti picky eater, hiperaktif, berlebihan & kurang berat badan di Aishah Kassim Academy pada awal tahun 2018.