Masalah kelewatan bahasa mungkin tidak nampak serius bagi bayi, tetapi apabila kanak-kanak meningkat usia, jika ianya berterusan akan memberikan impak yang sangat besar dan berterusan kepada kanak-kanak jika tidak dirawat dengan sepatutnya.
Berikut adalah kesan-kesan yang boleh dilihat atau terjadi jika masalah bahasa pada kanak-kanak dibiarkan tanpa rawatan.
1. Emosi
Sudah semestinya mereka akan merasa marah, kecewa, sedih dan sebagainya. Ini akan mengganggu perkembangan emosi mereka. Ramai ibu bapa mengadu bahawa anak mereka yang lambat bercakap suka melakukan tantrum. Kenapa ini terjadi?.. Kerana dengan tantrum mereka dapat menarik perhatian ibu bapa untuk mendapatkan sesuatu yang mereka ingini dan mungkin juga mereka marah kerana tidak mendapat apa yang mereka ingini.
2. Sosial
Bayangkan apa yang mereka rasa dan kesannya pada psikologi mereka. Perasaan malu, rendah diri dan kurang keyakinan diri akan terbentuk dalam diri mereka lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak yang memasuki usia persekolahan. Walaupun perkembangan bahasa mereka akan berkembang apabila usia meningkat, tetapi kekurangan pendedahan dan pengalaman bersosial semasa mereka kecil akan menyebabkan mereka kurang pandai untuk bersosial dan menangani masalah dengan baik semasa berkawan atau berhubung dengan orang lain.
3. Kognitif
Jika kelewatan bahasa ini tidak dirawat dan berterusan sehingga kanak-kanak memasuki alam persekolah, mereka akan ketinggalan dan sukar untuk mempelajari matapelajaran akademik dengan baik.
4. Tingkahlaku
Sikap kanak-kanak dengan kelewatan bahasa juga ada kalanya berbeza jika dibandingkan dengan kanak-kanak normal yang sebaya. Mungkin tidak semua tetapi masalah kelewatan bahasa sememangnya akan memberi kesan kepada perkembangan tingkah laku kanak-kanak. Mana tidaknya, seperti yang disebut sebelum ini, masalah bahasa akan menyebabkan kanak-kanak sukar untuk berkomunikasi dan tidak tahu bagaimana ingin memberitahu sesuatu orang lain secara verbal, jadi, apa yang mereka boleh gunakan adalah pergerakan fizikal seperti memukul apabila marah atau berguling-guling di lantai. Apabila emosi terganggu dan mereka tidak tahu mencurahkannya dengan cara yang betul akan terbentuklah masalah tingkah laku.
5. Masalah Pembelajaran (Akademik)
Ini adalah masalah yang selalu merungsingkan ibu bapa iaitu apabila kanak-kanak hendak memasuki alam persekolahan. Mana tidaknya, ibu bapa mana yang ingin melihat anak mereka ketinggalan di sekolah.
Jika kelewatan bahasa tidak dirawat dari awal, kanak-kanak sememangnya akan mempunyai masalah untuk mempelajari dan memahami mata pelajaran di sekolah. Selain itu, kesukaran mereka untuk memahami apa yang diajarkan di sekolah membuat kanak-kanak ini akan hilang semangat untuk belajar.
Saya bukan hendak menakut-nakutkan ibu bapa di luar sana terutamanya yang mempunyai anak dengan masalah kelewatan bahasa, tetapi langkah dan rawatan awal boleh membantu anak-anak ini berkembang dengan lebih baik. Sepertu yang saya selalu ingatkan, “jangan tunggu jika terdapat tanda-tanda kelewatan bahasa”. Teruskan usaha dan jangan mengalah.
Rawatan dan terapi yang berterusan dan konsisten membantu kanak-kanak untuk berkembang dengan lebih baik. Nak tahu bagaimana? Klik SINI.
SLP Aishah