Simptom-simptom Kelewatan Bahasa – Kefahaman


Sebelum kanak-kanak mula bercakap, mereka perlu memahami bahasa terlebih dahulu. Mereka perlu memahami apakah maksud perkataan yang disebut, maksud ayat dan juga bagaimana menggunakannya dalam satu-satu situasi. Kefahaman adalah sangat penting untuk kanak-kanak belajar dan berkembang.
Kelewatan atau masalah kefahaman bahasa bermaksud, kesukaran untuk kanak-kanak memahami bahasa yang dicakapkan, ditulis, gesture atau jenis-jenis simbol yang lain. Perkembangan kefahaman kanak-kanak akan meningkat sejajar dengan peningkatan usia mereka. Bermula dari kefahaman beberapa perkataan dan terus meningkat sehingga mereka boleh memahami ayat panjang dan cerita. Kefahaman terhadap arahan juga akan meningkat dari arahan yang mudah ke arahan yang lebih kompleks.
Ada kalanya, kanak-kanak yang mempunyai masalah dalam kefahaman bahasa ini di salah ertikan oleh orang lain sebagai “degil, nakal, jahat” dan sebagainya. Mereka mungkin juga akan dilabel sebagai “lembap” di sekolah. Ini adalah kerana kesukaran mereka untuk memahami bahasa dan menggunakannya dengan cara yang bersesuain.
Kelewatan dalam kefahaman bahasa bermaksud, kanak-kanak sukar untuk memahami apa yang dicakapkan atau diarahkan oleh orang lain kepada mereka. Antara symptom-simptom yang boleh dilihat pada kanak-kanak dengan masalah kelewatan bahasa kefahaman adalah seperti berikut:
SIMPTOM-SIMPTOM

  • Tidak memberi respon apabila nama dipanggil
  • Kelihatan tidak mendengar apabila bercakap atau memberi arahan kepadanya
  • Kesukaran untuk memahami dan melakukan arahan yang di berikan secara verbal
  • Kurang berminat apabila dibacakan buku cerita kepada mereka
  • Sukar memahami ayat yang disebutkan kepada mereka
  • Tidak dapat menjawab soalan yang diajukan
  • Mengulang semula perkataan atau ayat yang dicakapkan kepada mereka
  • Sukar memahami giliran semasa berinteraksi
  • Kemahiran bahasa (bercakap) di bawah tahap yang sepatutnya bagi usia mereka

Kanak-kanak dengan masalah kelewatan kefahaman bahasa mungkin akan mengalami masalah seperti:

  • Memahami gesture (cth: bye2, mari sini)
  • Mengikut arahan (ambil baju, sepak bola)
  • Memahami soalan (Apa, siapa, mana, kenapa, bagaimana)
  • Mengenalpasti objek atau gambar (cth: Anggota badan, haiwan, barangan rumah yang biasa)
  • Menyusun perkataan untuk membentuk ayat
  • Kekurangan bilangan kosa kata (bersesuaian dengan umur)
  • Menggunakan bahasa untuk mencapai matlamat (cth: meminta, memberi arahan, memberi komen dan bertanya soalan)
  • Menggunakan bahasa dengan betul dan bersesuaian
  • Berbual, bercerita dan berinteraksi

PENILAIAN

Kebiasaannya, ibu bapa lah yang pertama sekali akan nampak masalah tersebut pada anak-anak dan seterusnya guru di sekolah dan juga pakar kanak-kanak. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kefahaman bahasa kanak-kanak, penilaian penuh haruslah dilakukan oleh Patologis Pertuturan-Bahasa. Penilaian terhadap penglihatan dan pendengaran kanak-kanak juga harus dilakukan terlebih dahulu. Penilaian yang dilakukan adalah untuk mengenalpasti tahap sebenar masalah kefahaman kanak-kanak dan merancang rawatan yang bersesuaian.

SLP Aishah

About Aishah Kassim

"Knowledge is Never a Waste" Kepakaran saya adalah dalam memberikan khidmat nasihat bagi meningkatkan kemahiran BERKOMUNIKASI bagi KANAK-KANAK dan orang DEWASA. Bersama-sama berkongsi PENGETAHUAN dan PENGALAMAN..:)

Leave a Comment