Strategi Untuk Menggalakkan Perkembangan Bahasa Kanak-kanak – Bahagian 1


Sememangnya ibu bapa inginkan anak mereka petah berbicara, apatah lagi apabila ada orang lain mengatakan “Pandainya dia bercakap” ataupun “Petahnya anak Puan A bercakap”. Setiap kanak-kanak akan belajar setiap perkara baru dengan menggunakan setiap deria yang ada. Begitu juga dengan kemahiran bercakap. Ianya boleh DIASAH bermula ketika kanak-kanak masih bayi lagi. Strategi-strategi yang betul haruslah digunakan untuk menggalakkan perkembangan bahasa mereka. Berikut adalah strategi-strategi yang boleh digunakan.
#1 : Bentuk Hubungan
Semestinya kita ingin berkomunikasi dengan seseorang yang mempunyai hubungan yang baik dengan kita. Begitu juga dengan kanak-kanak. Mereka ingin berkomunikasi dengan seseorang apabila mereka merasa selamat dan dihargai. Mereka juga akan berkomunikasi jika mereka merasa selesa dengan seseorang dan jika kita memahami dan memberi respon yang baik dalam setiap percubaan mereka untuk berkomunikasi.

#2 : Menjadi pasangan yang interaktif – Respon dan mengambil giliran
Interaksi kita dengan kanak-kanak membolehkan kita untuk mengajar cara berkomunikasi kepada mereka. Sebagai contoh, apabila kanak-kanak meminta sesuatu dan kita memberi respon kepada permintaan tersebut, mereka akan belajar bahawa komunikasi adalah cara yang efektif untuk memenuhi kehendak mereka. 

Apabila kanak-kanak membuat bunyi atau menyebut sesuatu perkataan, kita mesti memberi respon dan tunggu kanak-kanak mengambil giliran dengan menghasilkan bunyi atau perkataan. Ini akan mengajar mereka untuk mempelajari cara untuk berkomunikasi iaitu mengambil giliran untuk bertukar maklumat dalam konteks sosial. Interaksi antara kanak-kanak-orang dewasa ini membolehkan kanak-kanak untuk meningkatkan perbendaharaan kata dan belajar mengambil giliran dalam komunikasi. Cuba untuk tidak mendominasi komunikasi dengan kanak-kanak dengan hanya kita sahaja yang bercakap dan memberitahu semua informasi, tetapi jadilah pasangan interaksi yang sama rata dalam berkomunikasi dan mengambil giliran.
#3 : Memberi respon pada komunikasi bukan verbal
Bayi dan kanak-kanak yang masih belum bercakap akan menggunakan  bahasa bukan verbal untuk berkomunikasi. Sebagai contoh, bayi menguap menunjukkan mereka mengantuk atau penat, kanak-kanak berlari ke arah anda untuk menunjukkan sesuatu menggambarkan yang mereka ingin berinteraksi dengan anda. Apabila kanak-kanak/ bayi berpaling dan menjauhkan diri menunjukkan yang mereka perlukan ruang dan berhenti dari berinteraksi.  Apabila orang dewasa memahami dan memberi respon kepada komunikasi bukan verbal kanak-kanak ini, mereka akan menganggap orang dewasa sebagai pasangan komunikasi mereka yang kemudiannya akan berterusan dengan menggunakan komunikasi verbal.
#4 : Menggunakan ‘self talk’ dan ‘parallel talk’
‘Self talk’ adalah perbualan yang dilakukan oleh orang dewasa untuk menceritakan dan menerangkan apa yang dilakukan oleh mereka semasa bersama kanak-kanak. Sebagai contoh ketika ibu memakaikan pakaian kepada anak dan menyebut “mama pakaikan baju, sekarang pakai seluar. Ok siap”. “Parallel talj pula adalah apabila orang dewasa menerangkan atau menceritakan apa yang dilakukan oleh kanak-kanak. Sebagai contoh semasa kanak-kanak sedang makan atau bermain, ibu menyebut “Adik makan roti..sedapnya..”. Strategi ini membolehkan kanak-kanak untuk mengaitkan perkataan yang disebut dengan aksi yang dilakukan.
#5 : Kerap berbual dengan anak anda menggunakan kosa kata yang pelbagai
Kajian menunjukkan bahawa, bilangan dan kualiti perbualan yang dilakukan oleh orang dewasa bersama anak-anak akan memberikan kesan kepada perkembangan bahasa mereka. Bilangan perkataan dan jenis ayat yang berbeza yang digunakan oleh ibu bapa, jumlah komunikasi yang dilakukan dan interaksi positif adalah berkait dengan perkembangan bahasa kanak-kanak.
Para pengkaji juga mendapati bahawa terdapat perbezaan dalam bilangan perkataan yang digunakan oleh ibu bapa. Sesetengah bayi mendengar lebih kurang 600 perkataan yang berbeza dalam sejam dan ada juga yang mendengar 1200 perkataan sejam. Sesetengah kanak-kanak pula mendengar 100 perkataan yang berbeza dalam sejam manakala ada juga yang mendengar 500 perkataan sejam. Perbezaan dalam bilangan perkataan yang didengar oleh kanak-kanak akan memberi perbezaan pada perkembangan bahasa mereka.
“Semakin banyak ibu bapa meluangkan masa untuk bercakap dengan anak-anak setiap hari, semakin cepatlah bertambah bilangan perbendaharaan kata mereka”

Gunakan kepelbagaian perkataan dan ayat dalam rutin harian bersama bayi dan kanak-kanak untuk meningkatkan bilangan vocabulari mereka. Sebagai contoh ketika memakai lampin, ibu bapa boleh berbual dan menerangkan tentang apa yang dilakukan seperti “ok, bukak lampin dulu, ambik lampin baru, pakai lampin, siap”. Anda boleh juga menyebut tentang anggota badan seperti tangan, mata, hidung, kaki dan sebagainya dan menjadikan masa memakai lampin adalah waktu yang seronok untuk mereka.

Kita akan bersambung ke Bahagian 2 untuk Strategi Untuk Menggalakkan Perkembangan Bahasa Kanak-kanak.

SLT Aishah

About Aishah Kassim

"Knowledge is Never a Waste" Kepakaran saya adalah dalam memberikan khidmat nasihat bagi meningkatkan kemahiran BERKOMUNIKASI bagi KANAK-KANAK dan orang DEWASA. Bersama-sama berkongsi PENGETAHUAN dan PENGALAMAN..:)

Leave a Comment