Pre-Verbal Communication

SEBELUM PERKATAAN PERTAMA 
Kemahiran yang perlu ada pada kanak-kanak 
(0-12 months)
Secara purata, kanak-kanak mula bercakap atau menyebut perkataan pertama ketika mereka berumur lebih kurang 1 tahun. Tetapi, adakah anda tahu bahawa sebelum mereka mula bercakap, terdapat beberapa kemahiran yang perlu mereka kuasai. Ianya dipanggil kemahiran pra-pertuturan (Pre-verbal skills). Antara kemahiran-kemahiran pra-pertuturan yang boleh kita lihat adalah seperti berikut :


1) TUMPUAN (Attention)


Kanak-kanak mesti mempunyai daya tumpuan atau fokus yang baik terhadap objek atau orang lain untuk mereka belajar sesuatu. Daya tumpuan juga penting untuk mereka belajar dari setiap pengalaman yang mereka lalui. Daya tumpuan termasuklah:
  • ·         Berpaling ke arah objek atau orang
  • ·         Memandang pada objek
  • ·         Mengekalkan pandangan pada objek untuk satu jangkamasa
  • ·         Mengekalkan minat pada sesuatu objek atau aktiviti untuk satu jangkamasa. Tumpuan akan meningkat seiring dengan umur kanak-kanak


2) KONTEK MATA (Eye Contact)


Kontek mata adalah kemahiran asas yang dilakukan oleh bayi seawal selepas kelahiran. Kontek mata membolehkan kanak-kanak untuk fokus kepada muka setiap orang dan objek disekelilingnya. Kanak-kanak memerlukan kemahiran ini untuk melihat pergerakan mulut orang yang bercakap dengannya dan cuba untuk meniru pergerakan tersebut. Kontek mata juga membolehkan mereka untuk belajar ekspresi-ekspresi bukan verbal seperti ekspresi muka untuk perasaan gembira, marah, sedih dan sebagainya.


3) MENGAMBIL GILIRAN (Turn Taking)


Kemahiran mengambil giliran adalah kemahiran asas untuk seseorang berkomunikasi dan berinteraksi. Kemahiran mengambil giliran awal yang boleh dilihat pada kanak-kanak seperti membaling dan menangkap bola secara bergilir-gilir akan mengajar mereka untuk memberi respon ketika berinteraksi bersama orang lain. Apabila mereka membesar dan mula bercakap, mereka akan menggunakan kemahiran ini untuk memberi respon atau melakukan sesuatu yang diarahkan oleh orang dewasa kepada mereka.


4) MENIRU (Imitation)


Terdapat 2 jenis jemahiran meniru iaitu meniru pergerakan motor dan meniru penghasilan bunyi. Untuk meniru, kanak-kanak perlu mempunyai 3 kemahiran penting iaitu kemahiran mengambil giliran, daya tumpuan dan kontek mata yang baik. Kanak-kanak akan meniru pergerakan motor terlebih dahulu kerana ianya melibatkan pergerakan fizikal dan lebih mudah dilakukan contohnya seperti melambaikan tangan untuk aksi “bye-bye”. Seterusnya kanak-kanak akan mula meniru bunyi sebutan perkataan selaras dengan aksi seperti melambai tangan dan menyebut “bye-bye”.


5) KEMAHIRAN BERMAIN (Play Skill)


Kanak-kanak perlu meneroka dan belajar tentang setiap objek yang berbeza di sekelilingnya sebekum mereka dapat menggunakannya dan seterusnya melabel objek tersebut. Terdapat beberapa peringkat untuk kanak-kanak menguasai kemahiran bermain. Jika kita perhatikan, kanak-kanak belajar menggunakan sesuatu permainan melalui ‘trial and error’, contohnya mereka cuba menekan butang pada permainan dan melihat apa yang terjadi. Mereka juga melihat dan mengikut tunjuk ajar daripada orang dewasa jika mereka gagal melakukannya.

Kanak-kanak bermula dengan menggunakan objek harian mereka seperti mengg
unakan cawan untuk minum, menggunakan sikat untuk menyikat rambut dan sebagainya. Seterusnya mereka akan melakukan permainan simbolik contohnya menggunakan pisang sebagai telefon. Kemahiran bermain ini akan terus berkembang. Apabila mencecah umur lebih kurang 2 tahun, mereka akan mula bermain ‘role playing’atau yang biasa kita gunakan ‘main pondok-pondok’ contohnya seperti berlakon menjadi ibu atau bapa.


6) KEMAHUAN BERKOMUNIKASI (Intention)


Kanak-kanak mestilah mempunyai kemahuan dan sebab untuk berkomunikasi. Sebagai contoh:
·         Mendapatkan perhatian kepada diri sendiri
·         Mendapatkan perhatian untuk sesuatu perkara, objek atau orang lain
·         Meminta sesuatu objek atau pertolongan
·         Mendapatkan maklumat
·         Greetings
·         Membantah atau menolak sesuatu
·         Memberi tahu sesuatu perkara dan juga menjawab soalan

Kesemua kemahiran-kemahiran tersebut akan terus berkembang dan terus digunakan oleh kanak-kanak.
Untuk sebarang pertanyaan sila berhubung terus dengan saya.

SLT Aishah

012-2947272

About Aishah Kassim

"Knowledge is Never a Waste" Kepakaran saya adalah dalam memberikan khidmat nasihat bagi meningkatkan kemahiran BERKOMUNIKASI bagi KANAK-KANAK dan orang DEWASA. Bersama-sama berkongsi PENGETAHUAN dan PENGALAMAN..:)

Leave a Comment