“Kami suami isteri bekerja, malam baru balik…. Tak ada masa untuk ajar anak la”
“Saya sibuk, Macam mana nak ajar anak bercakap”
“Saya susah nak datang terapi la, saya susah nak cuti”
Begini lah keluhan yang kerap saya dengar apabila menyuruh penjaga melakukan stimulasi bahasa pada anak mereka. Terdetik di dalam hati saya,
“Adakah mereka tidak risau dengan masalah yang dihadapi oleh anak mereka?”
“Adakah mereka tidak risau dengan masa hadapan yang bakal dihadapi oleh anak mereka?”
Saya faham dalam keadaan ekonomi sekarang, kita semua perlu bekerja keras untuk meningkatkan pendapatan keluarga masing-masing. Tapi kita juga perlu ingat anak adalah kurniaan tuhan. Tugas mendidik dan menjaga anak adalah tugas kita. Walau sesibuk manapun kita, tiada orang yang lebih layak untuk mengajar anak kita berbanding dengan diri kita sendiri.
JADI! Hari ini saya terpanggil untuk berkongsi beberapa tips bagaimana melakukan stimulasi bahasa bagi ibu bapa yang sibuk bekerja. Saya berharap tips ini sedikit sebanyak memberi idea untuk anda bagaimana mengajar anak bercakap ketika waktu sibuk.
Ajar anak ada semasa di dalam kereta.
Setiap hari, kebanyakkan dari kita akan bersama anak ketika di dalam kereta. Tak kira semasa menghantar anak ke sekolah, atau ketika bawa mereka pulang ke rumah. Ini adalah masa yang paling sesuai untuk mengajar perkataan baru.
Bagaimana untuk mengajar anak?
Caranya mudah sahaja, Berinteraksi dengan anak dengan menyebut berulang kali perkataan yang anda lihat ketika memandu. Contohnya:
“Tengok, Tu LORI, Wah besarnya LORI, Panjangnye LORI, LORI bawak minyak la…”
Cuba kira perkataan LORI, Banyak kali kan anda lihat dalam ayat di atas. Begitulah cara mudah untuk melakukan pengulangan ketika bercakap. Ulang perkataan beberapa kali dalam konteks yang berbeza. Pengulangan sangat penting untuk membantu kanak-kanak mengingat perkataan yang diajar, memahami dan mengulang perkataan tersebut.
Selain dari bercakap anda juga boleh menyanyi bersama anak ketika memandu. Menyanyi adalah aktiviti yang sangat menyeronokkan. Dalam masa yang sama kanak-kanak dapat mempelajari perkataan baru dan susunan ayat yang betul ketika menyanyi.
Pilih lagu kanak-kanak yang anak anda gemari, nyanyi bersama-sama dengan anak. Bagi anak kecil yang baru berlajar bercakap, pilih lagu yang mempunyai banyak ulangan dan bunyi. Contohnya lagu old mc Donald/ Pak Mamat ada kebun.
Bagi kanak-kanak yang sedang mempelajari susunan ayat, Pilih lagu yang mempunyai susunan ayat yang berulang contohnya lagu “kalau rasa gembira”
Ajar anak semasa waktu makan.
Waktu makan juga adalah waktu yang sesuai untuk mengajar stimulasi bahasa pada anak. Ini adalah kerana, biasanya keluarga akan berkumpul dan berinteraksi semasa makan.
Bagi anak yang baru mula belajar bercakap, Kenalkan perkataan baru dan sebut bunyi untuk menggalakkan peniruan. Contohnya:
Jom nak makan… makan nasi… aaam makan nasi… Wah nasi sedap
Bagi anak yang sudah pandai bercakap dan ingin menambah perbendaharaan kata pula, cuba bayangkan perkataan yang boleh diajar ketika makan. Ada kata nama seperti ayam, ikan, sayur, dll dan kata kerja seperti makan, minum, nak lagi dll. Sebut perkataan berulang kali ketika makan untuk menambah perbendaharaan kata anak. Lakukan pengembangan ayat untuk menambahkan panjang ayat.
TUNGGU SAMBUNGAN BAHAGIAN DUA!
Terapis pertuturan anda,
Marina Malek
Marina Malek