Hari ini kita akan lihat beberapa situasi seharian yang mana kita boleh melakukan terapi pertuturan.
Ajar anak semasa memasak
Waktu memasak juga adalah waktu yang sesuai untuk melakukan stimulasi bahasa. Tapi pastikan peralatan dan aktiviti yang dipilih sesuai dengan umur dan kebolehan anak.
Contohnya semasa memotong sayur, perkenalkan perkataan seperti sayur, pisau dan potong pada anak. Beri sedikit sayur dan pisau mainan. Potong sayur di tepi anak, dan sebut perkataan atau ayat untuk menerangkan perbuatan yang anda lakukan.
Contoh ayat:
Jom potong sayur…
Wah Ada pisau…
Ada pisau
Ada sayur sawi… sayur
Jom potong…
Potong sayur..potong sayur
Dalam contoh di atas, perkataan telah di sebut berulang kali dalam kombinasi ayat yang berbeza. Beginilah cara efektif untuk melakukan stimulasi bahasa. Cuba fikirkan bila masa lain yang sesuai untuk melakukan stimulasi bahasa?
Aktiviti mudah dan menarik seperti semasa menguli tepung, memasak kek, menghidang makanan, membasuh pinggan dll sangat sesuai untuk mengajar stimulasi bahasa. Ia juga dapat meningkatkan hubungan antara anak dan ibu bapa, serta mengasah bakat anak-anak sejak kecil lagi.
Ajar anak semasa naik dan turun tangga
Adakah anda sedar sebelum ini semasa naik dan turun tangga adalah masa yang sesuai untuk mengajar stimulasi bahasa. Semasa anda naik atau turun menggunakan tangga, cuba bercakap dengan anak. Bagi anak yang baru mula bercakap, ajar kata kerja seperti “naik” atau “turun”. Sebut perkataan berulang kali semasa melangkah setiap anak tangga.
Ajar konsep kedudukan seperti “atas” dan “bawah” semasa naik atau turun tangga. Konsep kedudukan sesuai bagi kanak-kanak berumur 2 tahun 5 bulan hingga 3 tahun. Contoh ayat yang boleh diajar semasa naik/ turun anak tangga adalah:
“Kita naik, naik, naik atas, naik lagi… yeaah sampai atas”
Selain dari itu, anda juga boleh mengajar anak mengira semasa naik/ turun tangga. Sebut nombor setiap kali naik/ turun anak tangga. Dengan pengulangan yang banyak anak akan dapat mengira nombor dengan lebih cepat.
Ajar anak semasa membeli belah
Waktu membeli belah juga adalah masa yang sangat sesuai untuk mengajar stimulasi bahasa. Biasanya kita akan membeli-belah bersama keluarga. Ia adalah masa yang sangat sesuai untuk mengajar pelbagai perbendaharaan kata baru. Sebut perkataan yang anda lihat/ pilih semasa membeli belah. Pelbagai jenis perkataan boleh diperkenalkan pada anak. Dari barang-barang kegunaan di rumah sehingga pelbagai jenis makanan. Jangan ajar terlalu banyak perkataan dalam satu masa. Pilih beberapa perkataan yang penting dan biasa digunakan apabila bersama kanak-kanak. Sebut perkataan berulang kali, semasa melihat atau memasukkan barang ke dalam troli. Jadikan aktiviti lebih menarik dengan beri tugas pada anak, seperti minta anak memasukkan barang ke dalam troli
Selain dari mengajar kata nama, anda juga boleh mengajar pelbagai kata kerja semasa membeli belah dengan anak seperti:
- Ajar kata kerja “TOLAK” semasa menolak troli
- Ajar kata kerja “AMBIL” semasa mengambil barang dan memasukkan barang ke dalam troli
- Ajar kata minta “NAK” semasa anak meminta barang yang diingininya
- Ajar kata kerja “BELI”/ “BAYAR” semasa menunggu giliran membayar barang di kaunter
Secara kesimpulannya, ibu bapa perlu bijak mengambil peluang untuk memberi stimulsi bahasa kerana ia adalah kunci utama bagi kanak-kanak untuk mempelajari bahasa.
Tak kira apa juga aktiviti yang dilakukan bersama anak, yang penting adalah perkataan yang diajar dan ulangan yang diisebut semasa aktiviti. Jadikan memberi stimulasi bahasa sebagai amalan seharian anda. Selamat mencuba!
Terapis pertuturan anda,
Marina Malek