Apabila bercerita mengenai makan, ibu bapa perlu tahu kemahiran-kemahiran yang perlu ada bagi memudahkan anak kecil anda makan dengan sempurna. Penting untuk ibu bapa melihat perkembangan mulut, tangan dan badan anak dalam memperkenalkan makanan dari segi tekstur, jenis dan cara pemberian makanan. Organ yang terlibat dalam kemahiran ini adalah bahagian oral (mulut, bibir, lidah dan rahang), tangan serta jari, kepala dan leher.
Pemberian makanan pelengkap mengikut umur bayi:
- 0 – 6 bulan: Susu ibu sahaja
Pemberian susu formula untuk kes-kes tertentu dan telah mendapatkan nasihat daripada doktor/pakar - 6 bulan – 8 bulan: Makanan separa pepejal/pepejal.
Makanan di sediakan dalam bentuk puri, kisar, dan lecek. - 8 bulan – 11 bulan: Makanan dicincang, dipotong, dan disediakan dalam bentuk kecil
Bagi memudahkan anak memegang dan menyuap makanan sendiri. - 12 bulan dan ke atas: Memperkenalkan makanan yang di makan seisi keluarga.
Pastikan anak daripada tidak tercekik dan tersedak kerana kemahiran mengunyah belum matang
Jadual di atas menerangkan jenis dan cara pemberian makanan serta tekstur yang perlu dikenalkan setelah bayi berumur 6 bulan. Namun demikian, kemahiran-kemahiran untuk makan perlu dipantau seawal bayi lahir sehingga anak dapat makan dengan sempurna.
Kemahiran untuk makan terdiri daripada kemahiran asas dan kemahiran yang spesifik untuk makan. Setiap bayi dan kanak-kanak akan berbeza umur untuk kemahiran ini berkembang namun ibu bapa perlu memastikan agar umur anak mereka tidak terlalu jauh daripada normal perkembangan.
Kemahiran Asas – Terdiri Daripada Kemahiran Motor Kasar Dan Halus Serta Kemahiran Kognitif
Kemahiran asas untuk makan ini terdiri daripada kemahiran motor kasar, halus serta kognitif. Ia penting dalam membentuk keupayaan untuk makan dan minum bagi bayi dan kanak-kanak.
- Kemahiran memegang objek dan bawa ke mulut ( 0 – 3 bulan)
Kemahiran ini bermula dengan membawa masuk tangan ke dalam mulut dan lama – kelamaan mencapai objek dan membawa masuk ke dalam mulut. Kemahiran ini penting untuk merangsang bahagian oral anak supaya tidak akan wujud perasaan takut untuk masukkan makanan ke dalam mulut. Namun, ibu bapa perlu mengawasi anak-anak daripada mengutip objek/benda yang boleh mendatangkan bahaya kepada mereka.
- 0 – 2 bulan
– Bayi akan membawa tangan ke dalam mulut
– Mulut akan terbuka dan bersedia untuk menghisap - 2 bulan – 3 bulan
– Apabila diberi objek lembut, bayi akan membawa masuk ke dalam mulut
– Menggunakan lidah dan mulut untuk eksplorasi objek - 4 bulan – 6 bulan
– Bayi belajar untuk mencapai dan memegang objek di sekeliling
– Menggunakan tapak tangan (palmar grasp) dan bahagian oral untuk eksplorasi objek - 8 bulan – 12 bulan
– Bayi menggunakan kemahiran dua jari untuk memegang objek (pincer grasp) dan upaya untuk menukar objek dari satu tangan ke tangan lain
– Kemahiran ini penting untuk anak menyuap makanan sendiri apabila makanan yang dipotong/dicincang kecil diperkenalkan
- 0 – 2 bulan
- Kemahiran duduk dengan bantuan/tanpa bantuan ( 6 bulan – 9 bulan )
Kemahiran ini penting dalam mengekalkan posisi bayi ketika makan. Oleh itu, kepala dan leher bayi perlu kuat bagi mengelakkan daripada tercekik dan tersedak. Kebiasaannya bayi berumur 6 bulan masih perlukan bantuan ibu bapa untuk duduk, jangan risau anak akan belajar untuk duduk tanpa bantuan lama-kelamaan - Kemahiran menunjuk kepada sesuatu objek (9 bulan – 14 bulan)
Kemahiran menunjuk merupakan salah satu jenis komunikasi dan penting untuk anak menunjuk dan meminta makanan/minuman yang diingini. Kemahiran ini bermula dengan menunjuk objek yang mereka inginkan dan lama kelamaan menunjuk kepada makanan yang mereka tahu dan suka.
Kemahiran Spesifik Untuk Makan – Perkembangan Oral Motor
Perkembangan oral motor dari segi fungsi lidah, bibir, gigi dan rahang merupakan kemahiran spesifik untuk makan yang perlu ada pada bayi dan kanak-kanak. Kemahiran ini penting kerana bayi dan kanak-kanak akan melalui perubahan diet makanan ; daripada pemberian susu sahaja kepada pengenalan makanan pelengkap dan seterusnya makanan seisi keluarga.
- Refleks semulajadi semasa bayi ( 0 – 4 bulan)
- Rooting
– Bayi akan pusing ke arah yang disentuh dan membuka mulut apabila bahagian oral (tepi mulut, bibir, pipi dan dagu) mereka disentuh.
– Kepentingan : supaya bayi dapat mencari sumber makanan (puting ibu / botol susu) - Menghisap dan menelan
– Pergerakan menghisap akan berlaku apabila bayi membuka mulut dan seterusnya lidah akan menolak ke belakang untuk menelan apabila cecair (susu) masuk ke dalam mulut
– Kepentingan : memastikan proses penyusuan dengan selamat - Gag
– Apabila sesuatu objek atau makanan kecil diletakkan ke dalam mulut, ia akan dikeluarkan semula oleh lidah. Refleks ini merupakan salah satu sebab pengenalan kepada makanan pelengkap dilambatkan sehingga bayi berumur 6 bulan. Refleks ini akan hilang ketika bayi berumur lebih kurang 4 bulan.
– Kepentingan : melindungi bayi dari menelan makanan yang tidak sesuai dan objek yang boleh menyebabkan tercekik
- Rooting
- Pergerakan dan kawalan lidah
Apabila bayi lahir, pergerakan lidah mereka terhad iaitu bergerak ke depan – belakang dan atas – bawah. Namun mereka akan belajar untuk menggerakkan lidah dari sisi – sisi apabila mula memasukkan objek/mainan ke dalam mulut. Perkara ini penting apabila makanan pelengkap diperkenalkan dan memerlukan kawalan dan pergerakan lidah bagi membolehkan makanan dicerna dengan baik.
- Mengunyah dan menggigit
Kemahiran mengunyah dan menggigit memerlukan kombinasi pergerakan bibir, lidah, gigi dan rahang. Walaupun gigi kanak-kanak belum tumbuh, mereka masih boleh mengunyah dengan gusi kerana gusi juga keras dan mampu untuk mengunyah tekstur makanan yang lembut. Kemahiran mengunyah dan menggigit akan lebih berkesan apabila ibu bapa memperkenalkan pelbagai tekstur makanan buat anak. Oleh itu, pantau dan lihat kemahiran anak dan pelbagaikan jenis makanan dalam diet harian mereka!
Kesimpulannya, ibu bapa perlu peka dan pantau kemahiran anak anda agar ia seiring dengan perkembangan normal. Jangan risau jika anak menolak makanan buat kali pertama kerana ia merupakan perkara baru bagi mereka. Teruskan memberi dan anak akan belajar untuk mendapatkan kemahiran – kemahiran tersebut.
Semoga berjaya buat ibu bapa!
[…] SUMBER: Aishah Kassim […]
Puan, anak saya dah masuk 9 bulan, tapi tak pandai lagi ambil makanan bawa ke mulut. Itu normal ke?