Artikel ini adalah sambungan daripada artikel “mengajar bahasa dengan aktiviti harian – bahagian 1”. Setiap hari kita mesti makan, sama ada di rumah ataupun di luar seperti di restoren dan sebagainya. Jadi peluang ini bolehlah digunakan untuk berinteraksi dan mengajar kemahiran bahasa kepada anak anda. Berikut adalah beberapa contoh kemahiran yang boleh diajar ketika makan.
MENGAJAR BAHASA SEMASA WAKTU MAKAN
Kemahiran Meminta
Anda boleh mengajar kemahiran meminta dengan menggalakkan anak anda meminta objek / makanan yang berbeza semasa waktu makan (tengahari, petang, malam). Untuk menggalakkan anak meminta dengan lebih kerap, anda boleh meletakkan sedikit sahaja makanan yang berbeza di dalam pinggan, jadi anak anda perlu meminta lagi untuk mendapakan makanan. Anda juga boleh meletakkan makanan pada tempat/orang yang berbeza dan membolehkan anak untuk meminta daripada orang yang berbeza seperti ayah, abang, kakak dan sebagainya.
Respon bahasa yang diharapkan perlulah bergantung kepada kemahiran bahasa kanak-kanak itu sendiri. Cuba galakkan anak untuk menggunakan bahasa yang lebih sedikit dari bahasa yang sedia ada, contohnya seperti :
- Jika anak anda masih belum pandai meminta, perkataan tunggal seperti menyebut nama objek/makanan boleh digunakan atau anda boleh galakkan anak anda menyebut “nak” untuk meminta
- Jika anak anda sudah boleh menyebut nama objek/makanan (cth:roti), galakkan anak anda untuk menggunakan 2 patah perkataan seperti “nak roti”
- Jika anak anda sudah boleh membuat ayat, anda boleh galakkan mereka untuk menggunakan ayat penuh dengan struktur yang betul dan anda juga boleh menggalakkan mereka untuk menyebut nama orang yang terlibat seperti “ayah, adik nak roti” atau “abang, tolong ambil roti” dan sebagainya.
Mengingat Semula Aktiviti
Untuk menggalakkan anak anda untuk mengingat dan menceritakan semula aktiviti harian mereka, anda boleh bertanya mengenai apa yang mereka lakukan pada hari tersebut. Untuk kanak-kanak yang kecil atau yang mempunyai kebolehan bahasa yang terhad, anda boleh bertanyakan soalan yang lebih spesifik seperti “Adik makan apa tenghari tadi?”. Anda boleh mulakan soalan yang anda sudah tahu jawapannya. Ini adalah untuk membantu mereka menjawab soalan sekiranya mengalami kesukaran.
Untuk kanak-kanak yang lebih besar dan mempunyai kemahiran bahasa yang lebih baik, anda boleh meminta mereka untuk menceritakan urutan kejadian seperti “mula-mula, kemudian, lepas tu, akhir sekali”. Sebagai contoh, jika tengahari tersebut anda pergi membeli belah dengan anak anda, Tanya anak anda mengenai apa turutan apa yang dilakukan di pasaraya atau kedai berkenaan seperti “setelah sampai, pergi ke mana, beli apa dan seterusnya sehingga pulang kerumah”.
Membuat Rancangan Harian
Merancang aktiviti harian bukan sahaja boleh membantu meningkatkan kemahiran bahasa anak-anak, malah ia juga membolehkan kanak-kanak untuk bersedia secara mental mengenai apa yang akan terjadi pada hari tersebut. Anda boleh bercerita mengenai apa yang akan terjadi pada hari tersebut seperti “pergi ke sekolah, belajar, makan, tidur, mandi, buat kerja sekolah, dan tidur malam”. Jika terdapat masa yang terluang pada hari tersebut, anda boleh bertanyakan apa yang ingin dilakukan oleh anak anda pada masa tersebut, bagaimana hendak dilakukan, kenapa ingin membuat aktiviti tersebut dan sebagainya. Anda juga boleh menulis semua perancangan tersebut di atas kertas untuk memudahkan anak anda memahami dengan lebih baik dan belajar untuk menulis.
Belajar Menyebut Bunyi Dengan Betul
Jika anak anda mempunyai kesukaran untuk menyebut sesetengah bunyi seperti “k/s/g/r” dan sebagainya, waktu makan mungkin adalah waktu yang paling sesuai untuk berlatih menyebutnya dengan betul. Pilih satu bunyi yang ingin dilatih dan jangkamasa latihan. Untuk permulaan anda boleh pendekkan masa latihan seperti 10-15 minit sahaja. Dengar sebutan anak anda dan mintanya untuk betulkan sebutan bunyi setiap kali salah menyebutnya. Sebagai contoh kanak-kanak menyebut “woti bagi roti”, anda boleh memintanya mengulang semula bunyi tersebut seperti “mama dengar bunyi tu, lagi sekali sebut rrroti”. Beri pujian jika kanak-kanak dapat menyebut dengan betul. Selepas masa tamat, anda tidak perlu lagi membetulkan sebutan mereka. Apabila sebutan kanak-kanak makin baik, anda boleh meningkatkan lagi masa latihan.
Menghuraikan makanan/minuman (adjektif)
Semasa makan adalah masa yang sesuai untuk mengajar anak-anak mengenai adjektif seperti tekstur, rasa, bau, warna dan sebagainya. Anda boleh bercerita mengenai tekstur makanan semasa memegang atau semasa didalam mulut seperti “lembut, keras, liat dan sebagainya”. Untuk kanak-kanak yang sukar untuk makan (picky eater), anda mungkin boleh meminta mereka untuk meneroka dahulu makanan dengan tangan atau mencium bau sebelum merasa makanan tersebut. Apabila anak anda sudah bersedia untuk makan dan merasa, nda boleh ceritakan padanya mengenai rasa makanak tersebut seperti “manis, masin, masam” dan sebagainya.
Kepada semua Ibu Bapa, Selamat Mencuba!!
SLP Aishah