Ada Apa Dengan "Late Talker"?

Berdasarkan Hanen Centre, “late talker” didefinasikan sebagai kanak-kanak yang berumur 18-30 bulan yang mempunyai kefahaman bahasa yang baik tetapi tidak atau kurang bercakap berbanding usianya. Kanak-kanak “late talker” biasanya mempunyai perkembangan yang baik dari segi kemahiran bermain, motor kasar dan halus, kemahiran berfikir dan sebagainya.
 

Sebagai rujukan, berikut adalah jumlah perkataan yang sepatutnya kanak-kanak guna atau sebut mengikut umur mereka. Bilangan perkataan yang ditunjukkan adalah purata.

UMUR
BILANGAN PERKATAAN
12 Bulan
~
2 – 6
15 Bulan
~
10
18 Bulan
~
50
24 Bulan
~
200 – 300
30 Bulan
~
450
36 Bulan (3 Tahun)
~
1000
42 Bulan
~
1200
48 Bulan (4 Tahun)
~
1600
54 Bulan
~
1900
60 Bulan (5 Tahun)
~
2200 – 2500
 Sumber : Linguisystem – Guide to Communication Milestone (2012 Edition)
APA YANG BOLEH DILAKUKAN OLEH IBU BAPA
Ibu bapa yang mempunyai anak dengan ciri-ciri “late talker” akan berasa risau dan takut. Harus diingat disini bahawa ada kanak-kanak “late talker” yang akan bercakap secara normal dengan sendirinya tanpa sebarang bantuan dan ada juga yang memerlukan rawatan dan terapi untuk belajar bercakap. Lagi awal proses terapi, lagi bagus keputusan yang akan diperolehi. 
Sebagai Patologis Pertuturan-Bahasa, saya amat menyarankan agar terapi dimulakan seawal yang mungkin selepas masalah tersebut dikesan. Berikut adalah beberapa strategi dan tips yang boleh dilakukan:
Selain dari artikel-artikel di atas, ibu bapa juga boleh mengamalkan tips-tips yang berikut:

#1 : Kurangkan jangkaan pada keperluan anak
Sebagai ibu bapa, selalunya kita dapat menjangka apa yang anak2 mahu apabila mereka mula merengek, menangis, mengamuk dan sebagainya. Adakalanya ibu bapa sudah tahu apa yang anak mahu sebelum mereka menyatakannya lagi. 
Kurangkan jangkaan disini bermaksud, tunggu dan lihat jika anak anda memberitahu kemahuannya. Jangan terus mengambil dan memberi sesuatu yang anak anda mahu tanpa dia meminta terlebih dahulu seperti menyebut nama objek atau menyebut “nak”. Jika anak anda masih belum boleh bercakap, cuba untuk menggunakan bahasa isyarat atau gesture untuk menceritakan apa yang diingini.
#2 : Gunakan bahasa isyarat / gesture 
Penggunaan bahasa isyarat atau gesture dengan kanak-kanak yang masih belum bercakap boleh membantu mereka untuk berkomunikasi. Ia juga boleh membantu kanak-kanak ini untuk memberitahu apa yang mereka ingini. Sebagai contoh isyarat untuk makan, minum, susu, pergi ke tandas dan sabagainya. 
Penggunaan bahasa isyarat dan gesture juga lebih mudah kepada kanak-kanak berbanding bahasa verbal. Pelbagai jenis bahasa isyarat dan gesture yang boleh digunakan seperti bahasa isyarat bahasa melayu, Makaton, atau gesture harian, yang penting ianya digunakan secara konsisten dan difahami oleh ahli keluarga dan orang yang rapat dengannya.
#3 : Ringkaskan / pendekkan arahan
Kanak-kanak yang mempunyai masalah kelewatan bahasa biasanya mempunyai masalah untuk memahami arahan yang terlalu panjang. Arahan yang ringkas dan pendek adalah lebih baik untuk mereka. Sebagai contoh :
 “Adik, tolong ambil kasut yang warna merah dalam almari kat luar”
Anda boleh ringkaskan menjadi;
“Adik, ambil kasut”
Contoh lain pula:
“Abu, cari kerusi, duduk, kita nak makan ni”
Anda boleh ringkaskan;
“Abu , duduk”
Ia mungkin kedengaran kasar dan tegas, tetapi percayalah ianya sangat membantu kanak-kanak ini untuk memahami dengan lebih baik. Anda boleh bermula dengan arahan yang ringkas (1-langkah) terlebih dahulu dan kembangkannya (2/3-langkah).
#4 : Bercakap menggunakan ayat yang ringkas
Ketika bercakap dengan anak anda, anda boleh menggunakan  bahasa yang sama dan lebih sedikit dari tahap semasa kemahiran bahasa anak anda. Sebagai contoh, jika anak anda menggunakan perkataan tunggal, anda boleh menggunakan perkataan tunggal juga untuk melabel gambar dan objek dan juga ayat 2 perkataan untuk memberi arahan dan menerangkan gambar/objek. Jika anda menggunakan ayat yang terlalu panjang, kanak-kanak mungkin sukar untuk memahami ayat tersebut. Selain itu, ia juga boleh menjadi model kepada kanak-kanak untuk belajar membina ayat kepada tahap yang seterusnya.
#5 : Kembangkan ayat anak anda
Semasa bermain dengan anak anda, anda boleh mengulang semula perkataan anak anak anda dan tambah 1 – 2 perkataan di dalam ayat tersebut. Sebagai contoh :
Anak : Bola!

Anda : Baling bola / sepak bola / bola besar / baling bola cepat dan sebagainya.
Anak : Kereta

Anda : Kereta jalan / kereta jalan laju / lajunya kereta / kereta biru / kereta besar dan sebagainya.
Selain itu anda juga boleh membetulkan ayat yang anak anda hasilkan dengan struktur yang betul. Contohnya :
Anak : Taman main

Anda : Kita main kat taman / jom main di taman
#6 : Sebut nama objek / Aksi
Cara ini boleh dilakukan di mana sahaja. Kanak-kanak dengan kelewatan bahasa mempunyai masalah untuk mengenalpasti nama objek / aksi. Dengan cara ini anda boleh meningkatkan / menambah bilangan kosa kata anak anda dengan menamakan setiap objek yang dilihat di mana-mana sahaja. Gunakan kata tunggal sahaja untuk melabel bagi mengelakkan kanak-kanak keliru dengan perkataan lain. Sebagai contoh anda sedang memegang bola, sebut “bola” dan pastikan anak anda mendengar apa yang anda sebutkan. Selepas itu barulah anda boleh tambah dengan perkataan lain seperti “baling bola” dan sebagainya.
#7 : Membaca bersama
Salah satu aktiviti terbaik yang anda boleh lakukan bersama anak anda adalah membca buku bersama. Kebanyakan strategi boleh dilakukan semasa membaca buku. Anda boleh menunggu sehingga anak anda meminta untuk menyelak buku, anda boleh mengajar kosa kata yang baru, anda boleh mengembangkan ayat anak anda dan anda juga boleh mengajar anak anda untuk mendengar arahan seperti “tunjuk kucing” dan sebagainya. Anda boleh baca tips-tips membaca di sini (Tips Membaca Buku dengan Anak-anak).
Jangan mengambil remeh isu-isu berkenaan kanak-kanak “late talker” kerana ia akan memberi impak kepada perkembangan kanak-kanak itu sendiri. Dapatkan nasihat dari Terapis Pertuturan-Bahasa berhampiran anda untuk rawatan awal.
SLP Aishah.

About Aishah Kassim

"Knowledge is Never a Waste" Kepakaran saya adalah dalam memberikan khidmat nasihat bagi meningkatkan kemahiran BERKOMUNIKASI bagi KANAK-KANAK dan orang DEWASA. Bersama-sama berkongsi PENGETAHUAN dan PENGALAMAN..:)

Leave a Comment