Panduan Aktiviti Fizikal Untuk Kanak-kanak

Topik lepas kita sudah membincangkan pemakanan sihat untuk kanak-kanak. Bagaimana pula dengan aktiviti fizikal buat mereka? Trend hari ini kita lihat kanak-kanak termasuk BAYI SEAWAL 6 BULAN sudah di beri gajet dan berada dalam dunia masing-masing. Kesannya kanak-kanak hari ini tidak pandai untuk bermain apatah lagi bersosial bersama rakan-rakan. Jika bersosial sekalipun, mereka akan bermain menggunakan ‘smart phone’ tanpa melakukan sebarang pergerakan.

Sebagai ibu bapa, penjaga dan guru yang prihatin terhadap kesihatan kanak-kanak ini, anda perlulah memainkan peranan dalam mengajak kanak-kanak untuk aktif secara fizikal setiap hari. Bagaimana mahu kanak-kanak aktif setiap hari? Artikel kali ini akan membincangkan panduan aktiviti fizikal untuk kanak-kanak.

Apa Itu Aktiviti Fizikal?

Aktiviti fizikal bermaksud sebarang pergerakan badan yang dihasilkan oleh otot dan membawa kepada pengeluaran tenaga. Melakukan aktiviti fizikal dan pemakanan yang sihat dapat mengekalkan kesihatan yang baik untuk bayi dan kanak-kanak. Bagi bayi dan kanak-kanak, aktiviti fizikal boleh di bahagikan kepada dua kategori iaitu aktiviti fizikal berstruktur dan tidak berstruktur.
Aktiviti fizikal berstruktur

  1. aktiviti yang dirancang dan disusun oleh ibu bapa/penjaga/guru
  2. mempunyai objektif tersendiri tetapi tiada unsur pertandingan (menang atau kalah)
  3. contoh aktiviti yang boleh di lakukan :
    • permainan dalam kumpulan: baling bola, ‘musical game’, menari
    • aktiviti ‘circuit’: turun naik kerusi, lompat bintang, merangkak melalui halangan

Aktiviti fizikal tidak berstruktur

  1. aktiviti bebas yang dilakukan oleh kanak-kanak dalam meneroka persekitaran mereka
  2. bermain menggunakan imaginasi dan idea mereka sendiri
  3. contoh aktiviti: bermain basikal, bermain di padang permainan, berlari

Panduan Dalam Melakukan Aktiviti Fizikal Untuk Kanak-kanak.

Prinsip 1: Aktif setiap hari
Pastikan anak/anak murid anda aktif secara fizikal setiap hari. Sekiranya terdapat kemudahan lif, ajak mereka untuk berjalan dan naik tangga berbanding menggunakan lif. Selain itu di rumah/sekolah/tadika/pusat jagaan, galakkan anak-anak anda untuk membantu dalam membuat kerja-kerja rumah seperti menyapu, mop lantai, membasuh dan mengemas. Aktiviti ini juga dapat mengeratkan hubungan dan merupakan waktu yang terbaik untuk anda BERKOMUNIKASI DENGAN ANAK.
Prinsip 2: Lakukan sekurang-kurangnya 60 minit aktiviti berintensiti sederhana setiap hari
Ajak anak/anak murid anda untuk melakukan 60 minit aktiviti berintensiti sederhana untuk meningkatkan sistem kardiovaskular mereka. Aktiviti yang boleh dilakukan adalah seperti bermain basikal, berlari/bermain kejar-kejar, bermain badminton dan seumpanya.
Peringatan : aktiviti fizikal yang dilakukan tidak semestinya 60 minit secara berterusan, tetapi boleh dilakukan secara berperingkat dan yang utama adalah 60 minit untuk sehari.
Prinsip 3: Melakukan aktiviti yang meningkatkan daya tahan otot dan tulang sekurang-kurangnya 3 kali seminggu
Lakukan juga aktiviti yang boleh meningkatkan daya tahan otot dan tulang anak-anak 3 kali seminggu. Sebagai contoh, lompat tali (skipping), lompat bintang, dan ‘monkey bar’.
Prinsip 4: Hadkan tabiat dan aktiviti fizikal yang tidak aktif
Beri nasihat kepada anak untuk mengurangkan aktiviti yang tidak aktif. Sebagai contoh hadkan aktiviti seperti menonton televisyen, melayari internet menggunakan telefon dan bermain serta menggunakan komputer yang berlebihan. Ajak anak untuk melakukan apa jua aktiviti asalkan mereka bergerak dan bukan duduk sahaja!


Kepentingan Aktiviti Fizikal Buat Kanak-kanak

  1. Untuk perkembangan dan pertumbuhan diri dengan baik
  2. Aktiviti fizikal bersama pemakanan yang sihat dapat menjaga kesihatan dan meningkatkan kualiti hidup mereka
  3. Menyokong perkembangan motor, koordinasi dan pergerakan (kaki dan tangan)
  4. Membentuk keyakinan diri dan membantu kanak-kanak untuk bersosial bersama rakan-rakan terutama aktiviti berstruktur (contoh : aktiviti berkumpulan)

Kesimpulannya aktiviti fizikal merupakan aspek penting dalam mengekalkan kesihatan yang terbaik untuk kanak-kanak. Bukan sahaja membantu dari segi pertumbuhan badan malah boleh meningkatkan kecergasan dan stamina mereka. Perkembangan emosi dan keyakinan diri dapat dilihat apabila kanak-kanak ini menikmati zaman kanak-kanak mereka dengan BERMAIN. Oleh itu ibu bapa/guru/penjaga perlu menggalakkan minat dan keupayaan anak untuk melakukan aktiviti fizikal, melibatkan diri untuk bermain bersama dan pantau mereka dari sebarang bahaya. Apa yang penting, pastikan mereka BERGERAK DAN MEMBUAT SESUATU AKTIVITI YANG BERMANFAAT.

mm

About Amalina Izati

“Lost opportunities, lost possibilities, feelings we can never get back. That’s part of what it means to be alive. But inside our heads – at least that’s where I imagine it – there’s a little room where we store those memories. A room like the stacks in this library. And to understand the workings of our own heart we have to keep on making new reference cards. We have to dust things off every once in awhile, let in fresh air, change the water in the flower vases. In other words, you’ll live forever in your own private library.” – Haruki Murakami, Kafka on the Shore

COMMENTS

  • Rusyda

    assalamualaikum. sy minta izin ye mengambil sedikit input dari perkongsian ini untuk assignment kumpulan saya. moga dpermudahkan segala urusan. terima kasih.

Leave a Comment