Pemberian Makanan Pelengkap (Complementary Food) Kepada Bayi dan Kanak-kanak

Bayi anda sudah berumur 6 bulan ke atas? Makanan apa yang perlu anda perkenalkan kepada mereka? Susu ibu atau susu formula sahaja ke? Jika anda rasa susu ibu atau susu formula sahaja sudah memadai, anda SALAH!

Sekiranya anak anda sudah berumur 6 bulan ke atas, anda perlu memperkenalkan makanan pelengkap kepada mereka. Hal ini penting untuk pelbagai perkara bukan sahaja dari segi khasiat yang bakal diperolehi tapi penting jua untuk membantu perkembangan dari segi deria; deria rasa, bau, melihat dan sentuhan. Jangan risau, artikel kali ini akan membincangkan dengan lebih mendalam mengenai pemberian makanan pelengkap kepada bayi dan kanak-kanak.

Apa Itu Makanan Pelengkap?

Makanan pelengkap adalah makanan yang diberikan setelah bayi berusia 6 bulan ke atas. Makanan pelengkap berfungsi untuk melengkapkan penyusuan susu ibu dan bukan menggantikannya. Oleh itu, penyusuan susu ibu perlu diteruskan mengikut kehendak bayi sehingga berumur dua tahun disamping memberi makanan pelengkap ini.

Bila Anda Boleh Mulakan Makanan Pelengkap?

Ibu bapa boleh memulakan makanan pelengkap apabila bayi dan anak anda menepati ciri- ciri ini :

  • Bayi berusia 6 bulan ke atas
  • Bayi boleh duduk dengan bantuan dan dapat mengekalkan kedudukan leher dan kepala
  • Bayi sudah pandai untuk keluar masuk lidah, menjilat, menggigit, mengunyah dan menelan

Apa Kepentingan Makanan Pelengkap?

Sudah tentu makanan pelengkap ini bertujuan untuk membekalkan tenaga dan nutrisi yang mencukupi buat bayi dan anak-anak anda yang semakin membesar. Makanan pelengkap juga bertujuan untuk membantu proses tumbesaran dan perkembangan yang sihat dan normal.

Makanan pelengkap bukan sahaja penting dari segi membekalkan nutrisi malah ia penting untuk membantu perkembangan oral motor mereka. Perkembangan oral motor yang terlibat adalah pergerakan bibir, mulut, lidah, pipi dan juga rahang apabila bayi dan anak-anak belajar untuk menjilat, menelan, mengunyah dan menggigit makanan.

Prinsip Dalam Pemberian Makanan Pelengkap:

Berikut merupakan prinsip-prinsip yang perlu dititikberatkan oleh ibu bapa dalam memulakan makanan pelengkap untuk bayi dan anak anda.

Prinsip 1 – Tekstur

Tekstur makanan pelengkap perlu diberi penekanan oleh ibu bapa kerana ia penting untuk keselamatan dan perkembangan anak anda. Tekstur dan cara penyediaan makanan perlu diubah secara beransur-ansur mengikut pertumbuhan bayi dan mengikut kesesuian perkembangan dan keupayaan seseorang bayi itu. Sekiranya bayi masih belum pandai untuk mengunyah sepenuhnya, berilah mereka makanan yang dikisar , puri atau lecek untuk mengelak dari tercekik.

Tekstur makanan pelengkap juga penting dalam membantu perkembangan deria bayi. Deria sentuhan bayi akan dirangsang apabila mereka dapat menyentuh pelbagai tekstur makanan seperti keras, lembik, kasar dan halus. Begitu juga dengan deria rasa apabila ibu bapa memberinya pelbagai makanan kerana setiap makanan mempunyai rasanya yang tersendiri.

Prinsip 2 – Kekerapan & Kuantiti

Apabila bayi anda sudah berumur 6 bulan, mulakan dengan memberi makanan dalam kuantiti yang sedikit. Tingkatkan kuantiti makanan sedikit demi sedikit apabila bayi telah menyesuaikan diri dengan makanan baru. Sekiranya anak anda kurang menyusu atau kurang makan (makan sedikit), anda perlu memberikannya makanan dengan lebih kerap untuk menampung keperluan nutrisinya.

Snek bermaksud makanan yang diambil di antara waktu makan utama dan kebiasaanya boleh dimakan sendiri oleh anak dan ringkas disediakan. Sebagai contoh, roti, biskut, puding, kuih lembut dan buah-buahan.

Prinsip 3 – Pelbagaikan Jenis Makanan

Makanan pelengkap yang terbaik adalah makanan yang dapat membekalkan pelbagai nutrisi yang diperlukan oleh bayi. Oleh itu ia haruslah terdiri daripada 5 kumpulan makanan berdasarkan Piramid Makanan Malaysia (lihat artikel sebelum ini).

Prinsip 4 – Wujudkan Suasana Menarik Dan Selesa

Ibu bapa perlu mewujudkan suasana menarik dan selesa untuk menggalakkan anak anda makan. Pastikan anak anda makan dalam keadaan duduk dan selesa untuk memudahkan proses menelan dan mengurangkan risiko tercekik. Ibu bapa perlu sabar dan ambil masa secukupnya apabila memberi anak anda anda makan. Beri galakan kepada merekan dan elakkan dari memaksa.

Biarkan anak anda untuk menyentuh makanan di dalam bekas atau sudu agar ia tidak takut untuk menerima makanan tersebut disamping membantu dari segi rangsangan sentuhan. Akhir sekali, bercakap dan berinteraksilah bersama anak anda semasa memberi makan kerana ini adalah masa terbaik untuk mengeratkan hubungan bersama mereka.

Kesimpulan?

Kesimpulannya, makanan pelengkap perlu diberikan kepada bayi dan anak anda yang berumur 6 bulan ke atas. Bukan sahaja penting dari segi membekalkan nutrisi yang sepenuhnya malah membantu anak anda menerima makanan baru serta dapat mengelakkan mereka dari menjadi ‘picky eater’ apabila berumur setahun ke atas. Pelbagai deria seperti deria rasa, bau, lihat dan sentuhan dapat dirangsang apabila memulakan makanan pelengkap ini. Jadi, ibu bapa di luar sana, RAJIN- RAJIN LAH YA masak dan mencuba pelbagai menu untuk menggalakkan anak anda makan!

Selamat Mencuba!

 

Pengurusan Tingkahlaku Mencabar Kanak-kanak

Jangan lupa sertai bengkel Pengurusan Tingkahlaku Kanak-kanak yang akan diadakan pada 13 Ogos 2017! Daftar segera sebelum penuh! Untuk maklumat lanjut, anda boleh ke Facebook Aishah Kassim atau klik SINI.

mm

About Amalina Izati

“Lost opportunities, lost possibilities, feelings we can never get back. That’s part of what it means to be alive. But inside our heads – at least that’s where I imagine it – there’s a little room where we store those memories. A room like the stacks in this library. And to understand the workings of our own heart we have to keep on making new reference cards. We have to dust things off every once in awhile, let in fresh air, change the water in the flower vases. In other words, you’ll live forever in your own private library.” – Haruki Murakami, Kafka on the Shore

Leave a Comment