ANAK SUKA MAKAN NAJIS SENDIRI?

 

 

“Anak saya makan najis dia sendiri, bila berak, dia seluk tangan dalam pampers kemudian dia ambil najis dia dan makan.” Adakah anda mengalami masalah yang sama? Anak anda makan sesuatu yang bukan makanan? Saya tahu mesti ramai yang alami masalah macam ni, tapi malu nak tanya. Takut dengan persepsi orang bila tahu anaknya suka makan benda macam ni. Jangan risau, di center kami pun ada kanak-kanak yang mempunyai masalah yang sama. Jom saya terangkan sedikit sebanyak tentang masalah ini.

 

     Gangguan pemakanan seperti gigit, jilat dan makan sesuatu yang bukan makanan dikenali sebagai PICA. Ia bukan hanya terjadi pada kanak-kanak sahaja, malah turut terjadi dalam kalangan orang dewasa (cth: wanita hamil). Tetapi gangguan pemakanan ini sering ditunjukkan oleh kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan 2 tahun atau 3 tahun dan bagi mereka yang mempunyai masalah seperti autisme, gangguan perkembangan, kognitif (otak mentafsif, mempelajari & memahami sesuatu) dan mental (cth: skizofrenia).

 

     Bagi kanak-kanak bawah 2 tahun, ia adalah perkembangan yang normal untuk mereka memasukkan sesuatu ke dalam mulut bagi tujuan untuk meneroka dan merangsang perkembangan oral dan sensori mereka. Ia akan jadi masalah apabila anak dah berusia 2 tahun ke atas dan masih lagi melakukan perbuatan tersebut. Jadi, jangan terus kata anak ada pica bila nampak dia gigit dan masukkan mainan dia dalam mulut ya.

 

     Ciri-ciri yang ditunjukkan bagi kanak-kanak atau orang dewasa yang mempunyai gangguan pemakanan seperti pica ini adalah, mereka akan makan sesuatu seperti najis, batang pensil kayu, pasir, rambut, bedak, kertas, habuk, kayu, sabun, tanah, kain, cerbisan cat dan lain-lain yang tiada nilai nutrisi secara berterusan selama lebih dari sebulan. Pada umumnya, gangguan pemakanan seperti pica ini hanya bersifat sementara sahaja. Tapi ia juga boleh berlaku pada jangka masa yang lama sehingga dewasa. Ia bergantung pada masalah yang individu tersebut hadapi.

 

     Antara sebab masalah ini terjadi adalah apabila seseorang individu mempunyai kekurangan mineral (contoh: zat besi, zink), anemia, masalah tingkahlaku, nak dapatkan perhatian, untuk kurangkan tekanan, ada masalah pada fungsi sensori (contoh: rasa, tekstur), autisme, masalah kognitif (contoh: tak dapat nak beza benda yang boleh dimakan dan tidak boleh dimakan), masalah mental (contoh: skizofrenia) dan kemiskinan.

 

     Masalah pica ini boleh menyebabkan seseorang mengalami masalah malnutrisi, kerosakkan gigi, keracunan bahan kimia, infeksi bakteria dan usus serta kerosakkan otak. Ibubapa dan penjaga perlu peka dan kenalpasti sekiranya ada ciri-ciri pica ini pada anak. Jika ada, segera bawa anak berjumpa dengan doktor untuk dapatkan rawatan yang sepatutnya.

 

     Antara pencegahan yang boleh dilakukan bagi masalah gangguan pemakanan ini adalah dengan memastikan anak makan makanan yang seimbang bagi mengelakkan mereka kekurangan nutrient yang diperlukan oleh tubuh badan. Pastikan anak cukup makan makanan dari sumber zat besi dan zink. Contoh makanan yang kaya dengan zat besi dan zink adalah seperti daging (contoh: lembu, ayam), telur, makanan laut (contoh: udang, ikan salmon, tiram), kekacang (contoh: kacang merah, kacang tanah) dan sayur-sayuran (contoh: bayam). Sekiranya anda ingin berikan anak suplemen, sila dapatkan dahulu nasihat daripada doktor bagi mengenalpasti suplemen yang sesuai untuk anak anda. Namun, adalah lebih baik sekiranya anda pastikan anak dapat nutrient yang sepatutnya melalui makanan. Anda juga perlu sentiasa kerap perkenalkan makanan pada anak. Sekiranya anak boleh faham, anda boleh terangkan pada anak untuk membezakan makanan yang boleh dimakan dan tak boleh dimakan serta kesan sekiranya makan benda bukan makanan. Anda juga boleh simpan barang atau benda yang anak selalu nak makan supaya mereka tak nampak, kalau nampak barang atau benda tersebut, pasti mereka akan cuba untuk makan.

 

      Untuk yang pertama kali dengar mengenai hal ini pasti akan rasa pelik dan tak akan pernah sangka seseorang individu akan makan sesuatu benda seperti ini. Gangguan pemakanan bukan hanya tertumpu pada masalah seperti memilih makanan, sukar makan atau terlebih makan. Ada pelbagai lagi masalah pemakanan yang boleh terjadi. Bagi ibubapa yang mempunyai anak yang ada masalah seperti ini, anda perlu banyak bersabar, tak putus asa dan terus kekal positif dalam membantu anak. Bawa anak berjumpa dengan doktor untuk dapatkan rawatan yang lebih lanjut bagi mengatasi masalah ini. Jangan putus asa ya! Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat dan ilmu pada anda semua.

mm

About Noriza Dahalan

Nutritionist di Aishah Kassim Academy. Mendapat kelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pemakanan dengan Kepujian daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2016. Telah berkecimpung dalam bidang pemakanan kanak-kanak yang mempunyai masalah seperti picky eater, hiperaktif, berlebihan & kurang berat badan di Aishah Kassim Academy pada awal tahun 2018.