Pusat Ilmu / Bahasa & Pertuturan
Menyanyi sambil Ajar Bahasa dan Komunikasi Dua Hala kepada Anak
Lagu kegemaran anak boleh menjadi peluang untuk berbual. Saya kongsikan cara menyanyi bersemuka, berhenti dan tunggu, serta memberi ruang anak turut serta.
Editorial AKA · Dikemas kini 10 November 2026 · 4 minit membaca
Dalam artikel ini

Tulisan asal: Aishah Kassim · Disunting semula untuk Pusat Ilmu pada 10 November 2026.
Ramai kanak-kanak memang sukakan lagu. Bila dengar lagu kegemaran, ada yang mula menggerakkan badan, membuat aksi atau menyebut perkataan yang dia kenal. Lagu juga boleh menjadi peluang untuk kita menyanyi bersama, meniru aksi dan bertukar respons dengan anak.
Sebenarnya, lagu juga boleh digunakan untuk mengajar bahasa & komunikasi 2 hala kepada kanak-kanak terutamanya bagi kanak-kanak lambat cakap dan mengalami masalah untuk berkomunikasi 2-hala. Berikut adalah beberapa perkara yang anda boleh lakukan semasa menyanyi bersama-sama anak anda:
Nyanyikan lagu yang menarik minat anak anda
Tak kisah sebenarnya lagu apa pun, tapi yang penting lagu tersebut menarik perhatian anak untuk turut serta menyanyi bersama anda. Anda boleh cipta sendiri lagu anda ataupun nyanyikan lagu yang sudah sedia ada di media.
Nyanyi secara bersemuka
Apabila bersemuka, anak akan lebih mudah untuk belajar daripada anda seperti ekspresi muka, aksi yang anda lakukan dan perkataan yang anda sebutkan. Anda pun lebih mudah untuk melihat apa yang anak anda lakukan dan beri respons padanya.
Nyanyi dengan perlahan (kelajuan lagu)
Biasa kita dengar di video, ada lagu-lagu yang terlalu laju sebutannya, sehingga sukar untuk anak menangkap dan memahami setiap satu perkataan yang disebutkan dalam lagu. Jadi adalah lebih mudah sekiranya anda nyanyikan lagu dengan lebih perlahan pada anak. Jadi anak akan lebih mudah untuk meniru aksi dan juga sebutan perkataan dalam lagu.
Cipta peluang untuk anak turut serta
Bagi sesetengah kanak-kanak yang mengalami masalah kelewatan bahasa dan sukar untuk melakukan komunikasi 2 hala, mereka tidak boleh atau sukar untuk turut serta untuk menyanyai dan nelakukan aksi bersama-sama. Untuk anak sebegini, kita perlu mencipta peluang untuk mereka juga belajar turut serta.
Peluang itu perlu mengikut kemahiran, minat dan keselesaan anak. Ada anak boleh mengetuk drum atau membuat satu aksi. Ada yang sudah boleh menyambung bunyi, perkataan atau sebahagian ayat dalam lagu. Alat muzik yang mudah dan selamat pun sudah cukup. Yang penting, anak ada cara untuk turut serta.
Berhenti & tunggu
Pada bahagian lagu yang anak kenal, berhenti sekejap dan tunggu responsnya. Contohnya, berhenti sebelum perkataan terakhir dalam satu baris. Pandang ke arahnya dengan mesra dan beri ruang untuk dia menyambung melalui bunyi, aksi atau perkataan. Jika belum ada respons, sambung sahaja lagu itu. Mungkin pada peluang lain dia mahu mencuba. Tak perlu menunggu sehingga anak tertekan atau mensyaratkan eye contact.
Bantu anak untuk melakukan aksi
Sekiranya anak belum dapat melakukan aksi sendiri, tunjukkan dahulu. Anda boleh membuat aksi perlahan-lahan supaya mudah diikuti. Jika anak selesa menerima bantuan, bantu sekadar yang diperlukan; berhenti apabila dia menunjukkan tidak selesa. Dia juga boleh menyertai dengan cara lain, seperti mengetuk atau menggerakkan badan.
Tukarkan perkataan
Bagi anak yang sudah mengenali lagu, cuba tukar perkataan tertentu untuk menarik perhatiannya. Contohnya, tukar nama haiwan, tempat atau orang kepada sesuatu yang anak kenal. Kita boleh sebut nama anak dalam lagu dan lihat bagaimana dia membalas.
Ulang lagu
Jangan risau untuk mengulang lagu yang sama berulang-ulang kali sekiranya anak anda menyukai lagu tersebut. Pengulangan akan membolehkan mereka belajar dengan lebih baik.
Gunakan aksi, gambar dan ekspresi muka untuk anak mudah faham
Terdapat lagu-lagu yang mempunyai perkataan yang sukar difahami oleh kanak-kanak. Jadi anda boleh gunakan aksi atau gambar atau ekspresi muka untuk memudahkan anak untuk faham. Sebagai contoh lagu ‘labah-labah panjat perigi’. Mungkin anak tidak tahu perigi itu apa, jadi anda boleh gunakan gambar untuk menggambarkan perkataan tersebut. Atau anda boleh tukar perkataan perigi kepada perkataan lain yang lebih sesuai seperti dinding, pokok dan lain-lain.
Menyanyi bersama memberi kita peluang untuk berkongsi perkara yang anak suka sambil belajar bahasa dan komunikasi dua hala. Tak perlu suara sedap atau alat muzik mahal. Mulakan dengan lagu yang anak suka, ikut responsnya dan nikmati masa bersama. Jika parents bimbang tentang perkembangan komunikasi anak, dapatkan nasihat ahli terapi pertuturan-bahasa atau doktor.
Bacaan berkaitan
Anak Bercakap Tapi Tak Berkomunikasi… Apa Nak Buat?
Cara Mengajar Kosa Kata kepada Anak: Faham Dulu, Kemudian Guna
Sumber tulisan dan rujukan
Artikel asal: Menyanyi dan Ajar Bahasa & Komunikasi 2 Hala Sekaligus Bagi Anak Lambat Cakap, tulisan Aishah Kassim.
Rujukan tambahan: ASHA: mengenali kebimbangan pertuturan, bahasa dan pendengaran.
Perkongsian ini untuk pendidikan umum. Untuk kebimbangan khusus tentang perkembangan anak, dapatkan penilaian profesional.
Sumber asal: Aishah Kassim.
PROMOSI AKA
Perlu panduan untuk situasi anak anda?
Kongsi perkara yang anda perhatikan dan tanyakan pilihan sokongan kepada pasukan AKA.
Bacaan seterusnya

Anak Bercakap Tapi Tak Berkomunikasi… Apa Nak Buat?
Anak pandai sebut nama objek, tetapi susah nak meminta atau berbual? Mari saya terangkan bagaimana aktiviti mengambil giliran boleh membuka ruang komunikasi dua hala.
