Pusat Ilmu / Bahasa & Pertuturan

8 Tips Tarik Perhatian Anak Lambat Bercakap untuk Berinteraksi

Nak anak seronok berinteraksi dengan kita? Saya kongsikan 8 tips daripada bersemuka dan guna sound effect, hingga menyertai minat serta meniru aksi anak.

Editorial AKA · Dikemas kini 10 November 2026 · 6 minit membaca

Ilustrasi ibu bapa berada pada paras anak dan bermain bersama.

Tulisan asal: Aishah Kassim · Disunting semula untuk Pusat Ilmu pada 10 November 2026.

Berinteraksi adalah kemahiran yang dipelajari oleh kanak-kanak. Bagi sesetengah anak, termasuk anak yang lambat bercakap atau memerlukan sokongan perkembangan, perkara ini mungkin mengambil lebih banyak masa dan bantuan. Banyak kemahiran lain turut membantu mereka berinteraksi dengan kita.

Interaksi juga haruslah menarik supaya anak-anak ingin terus melakukan interaksi dengan anda. Semakin banyak interaksi, semakin banyak kemahiran yang anak-anak boleh pelajari. Jika inginkan anak-anak berminat dan tertarik untuk berinteraksi dengan anda, anda boleh ikuti 8 trik ini:

Tip 1: Bersemuka

Apabila bermain dan berinteraksi dengan anak, rendahkan badan supaya wajah, tangan dan permainan anda mudah dilihat. Anda boleh duduk di lantai apabila anak duduk di kerusi kecil, atau turut duduk di lantai ketika dia bermain. Bila turun ke level anak, kita pun lebih mudah nampak respons yang kecil-kecil dan membalasnya. Bersemuka tak bermaksud anak mesti memandang mata kita sepanjang masa.

Tip 2: Guna Intonasi Yang Menarik

Ramai kanak-kanak tertarik dengan melodi. Tak hairanlah ada yang memberi respons bila mendengar lagu. Jadi, cuba gunakan intonasi yang menarik semasa berbual dan bermain. Perhatikan keselesaan anak juga; ada yang suka suara berlagu, ada yang lebih selesa dengan suara perlahan.

Tip 3: Pilih Mainan Yang Memberi Rangsangan Deria

Dah nama pun kanak-kanak kan, bermainlah antara waktu mereka belajar. Pilih mainan yang mudah digunakan dan sesuai dengan minat anak. Ada yang suka mainan bergerak, bunyi atau tekstur tertentu. Ada pula yang kurang selesa dengan cahaya terang dan bunyi kuat. Tak semestinya mainan yang paling meriah itu paling sesuai. Tengok respons anak kita dahulu.

Apabila anak tertarik dengan mainan yang anda tunjukkan, maka lebih mudahlah untuk anda berinteraksi dengan anak anda. Dengan adanya mainan, anda juga akan lebih mudah untuk berinteraksi dengan anak kerana dari mainan tersebut anda boleh mendapatkan idea apa yang perlu anda cakapkan.

Tip 4: Guna Ayat Yang Ringkas

Keseronokan berinteraksi adalah bergantung kepada sejauh mana kita memahami sesuatu bahasa. Semakin faham dan tahu menggunakan bahasa, semakin mudah dan seronok untuk kanak-kanak berinteraksi. Kanak-kanak 1-3 tahun masih lagi belajar untuk mempelajari cara menggunakan bahasa dengan betul samaada verbal ataupun tidak verbal. Jadi penggunaan ayat yang ringkas membolehkan mereka faham dengan lebih mudah dan lebih mudah untuk mereka respons juga.

Sesuaikan panjang ayat dengan kefahaman dan cara anak berkomunikasi sekarang. Contohnya, kita boleh mula dengan “Bola”, “Bola jatuh” atau “Nak bola lagi”. Beri contoh yang ringkas dan tambah sedikit demi sedikit apabila sesuai.

Tip 5: Banyak Gunakan ‘Sound Effect’

Apabila bermain dan berinteraksi bersama anak anda, gunakan banyak sound effect yang menarik seperti “weee, woww, boom-boom, pop-pop-pop, miau” dan banyak lagi. Bunyi atau perkataan ini akan menarik perhatian anak, kerana ianya disebut dengan sangat berintonasi. Tambah pula, perkataan-perkataan ini boleh disebut dengan berulang-ulang semasa aktiviti dan ini memberikan peluang kepada anak untuk mendengarnya. Perkataan seperti “weee’ dan “jatuh” boleh digabungkan semasa bermain dengan kereta. “Pop”, “oo-oo” dan “pecah” boleh digunakan semasa bermain bubble. “Mmmm”, “sedapnya” boleh digunakan semasa makan, “boom-boom” atau “dum-dum” semasa bermain drum.

Ada bermacam-macam bunyi yang boleh kita gunakan mengikut permainan anak. Jika dia cuba meniru, sambutlah percubaan itu walaupun bunyinya belum sama. Kalau anak membalas dengan senyuman, gerakan atau isyarat pula, itu juga peluang untuk kita meneruskan interaksi.

Tip 6: Berikan Bantuan

Jika anak belum tahu bagaimana nak memberi respons, kita boleh bantu dengan menunjukkan contoh. Modelkan perkataan atau ayat, tunjuk cara memberikan objek, atau gunakan ekspresi muka dan gerak badan. Beri bantuan yang anak selesa terima. Jika dia menolak sentuhan atau kelihatan tidak selesa, gunakan contoh dan isyarat tanpa memaksa tubuhnya.

Dengan bantuan yang diberikan membuatkan anak untuk lebih faham dan tahu apa yang mereka perlu lakukan. Ia juga boleh membuatkan anak merasa enjoy untuk terus berinteraksi dengan anda.

Tip 7: Jadikan Minat Sebagai Peluang Untuk Berinteraksi

Setiap kanak-kanak mempunyai minat mereka sendiri terhadap sesuatu dan minat itu akan berubah-ubah mengikut situasi. Perkara yang mereka minat itu sebenarnya kita boleh gunakan sebagai subjek perbualan anda dengan anak. Kerana apa yang mereka minat, tumpuan mereka akan lebih baik, dan bahasa yang diberikan akan lebih mudah untuk anak kaitkan dan fahami.

Duduk dekat dengan anak, lihat anak dengan penuh minat dan tunggu anak untuk memberikan mesej. Sebagai contoh, anak anda sedang melihat bayi yang sedang menangis dengan penuh minat, anda hanya diam, TUNGGU untuk anak berkomunikasi dengan anda. Apabila anak melihat ke arah anda, tunjuk bayi tersebut dan sebutkan perkataan atau bunyi. Dengan cara ini anda boleh memberikan respons kepada apa yang anda fikir anak anda ingin ‘cakapkan’. Contoh “baby nangis”. Beri peluang pada anak untuk memulakan perbualan kerana memulakan perbualan adalah kemahiran yang penting untuk berbual dengan baik. Dengan menunjukkan minat pada apa yang anak minat sekaligus akan menarik minat anak untuk berinteraksi dengan anda.

Tip 8: Tiru Aksi & Bunyi Anak

Meniru adalah cara yang berkesan untuk menggalakkan interaksi secara berterusan. Tiru apa yang dilakukan oleh anak anda. Anak anda mengetuk drum, anda pun mengetuk drum dan tunggu respons dari anak. Sekiranya anak menghasilkan bunyi seperti ‘oo-oo’, ‘woww’, anda pun meniru menyebutnya juga dan tunggu dan lihat samaada anak menyedari atau tidak kehadiran anda. Jika anak menolak kereta, anda juga menolak kereta dan lihat reaksi anak. Kemahiran meniru merupakan kemahiran yang sangat penting untuk membolehkan anak bercakap. Dengan meniru anak terlebih dahulu akan menggalakkan anak untuk menyedari kehadiran anda dan akan meniru anda pula apabila mereka sudah bersedia. Interaksi akan menjadi lebih menarik jika anak sedar yang anda memberi perhatian pada apa yang mereka sebut dan lakukan.

Cara anak berinteraksi berubah mengikut perkembangan mereka. Ada yang menggunakan gesture, aksi dan bunyi; ada yang sudah menggunakan perkataan atau ayat. Jadi, sesuaikan cara kita bermain dengan keperluan dan tahap anak sekarang. Jika bimbang tentang perkembangan komunikasi atau pendengarannya, berbincang dengan ahli terapi pertuturan-bahasa atau doktor.

Bacaan berkaitan

Anak Mula Menunjuk: Kemahiran Awal Bahasa dan Komunikasi

Anak Bercakap Tapi Tak Berkomunikasi… Apa Nak Buat?

Sumber tulisan dan rujukan

Artikel asal: 8 Tips Tarik Perhatian Anak Lambat Bercakap Untuk Bercakap, tulisan Aishah Kassim.

Rujukan tambahan: ASHA: mengenali kebimbangan pertuturan, bahasa dan pendengaran.

Perkongsian ini untuk pendidikan umum. Untuk kebimbangan khusus tentang perkembangan anak, dapatkan penilaian profesional.

Sumber asal: Aishah Kassim.

PROMOSI AKA

Perlu panduan untuk situasi anak anda?

Kongsi perkara yang anda perhatikan dan tanyakan pilihan sokongan kepada pasukan AKA.

Bacaan seterusnya

Ilustrasi anak menunjuk objek menarik sambil ibu bapa memberi perhatian.

Anak Mula Menunjuk: Kemahiran Awal Bahasa dan Komunikasi

Anak tunjuk biskut, kemudian tunjuk kucing di luar rumah. Apa yang dia cuba sampaikan? Jom faham kenapa menunjuk penting dan bagaimana kita boleh membalasnya.

Baca artikel →

Ilustrasi ibu bapa dan anak bergilir bermain bola dalam suasana santai.

Anak Bercakap Tapi Tak Berkomunikasi… Apa Nak Buat?

Anak pandai sebut nama objek, tetapi susah nak meminta atau berbual? Mari saya terangkan bagaimana aktiviti mengambil giliran boleh membuka ruang komunikasi dua hala.

Baca artikel →