Pusat Ilmu / Bahasa & Pertuturan

Anak Faham Arahan Tapi Belum Bercakap? Jom Perhatikan 5 Perkara Ini

“Anak saya faham je arahan, tapi tak bercakap lagi.” Jom saya terangkan cara melihat kefahaman anak melalui pilihan, rutin dan aktiviti harian.

Editorial AKA · Dikemas kini 10 November 2026 · 4 minit membaca

Ilustrasi ibu bapa berbual dengan anak semasa rutin bermain di rumah.

Tulisan asal: Aishah Kassim · Disunting semula untuk Pusat Ilmu pada 10 November 2026.

“Anak saya faham je arahan, tapi tak bercakap lagi”

Ayat yang biasa disebut oleh parents bila ditanya mengenai anak faham atau tak.

Ya, memang ada kanak-kanak yang memahami percakapan tetapi masih belum banyak bercakap. Ada juga yang memerlukan bantuan untuk memahami bahasa. Kadang-kadang, respons anak dalam rutin harian membuatkan parents sangka dia sudah memahami semua perkataan yang kita sebut. Sebab itu kita perlu lihat beberapa contoh, bukan satu situasi sahaja.

Macam mana tu?

Ok, saya akan terangkan beberapa perkara yang boleh kita perhatikan. Anak boleh menggunakan perkataan, gerak isyarat dan keadaan sekeliling pada masa yang sama. Pemerhatian ini membantu kita mengenali cara anak memahami sesuatu; ia bukan ujian untuk menentukan diagnosis di rumah.

1. Membuat pilihan

Bila kita memberi pilihan pada kanak-kanak, perhatikan perkataan yang kita gunakan dan respons anak. Contohnya, “Nak lego ke puzzle?” Anak mungkin menjawab “puzzle”. Pada peluang lain, cuba ubah susunan: “Nak puzzle ke lego?” Jika anak kerap menyebut perkataan terakhir, catat corak itu. Kemudian lihat juga mainan yang dia tunjuk atau pilih. Mengulang perkataan terakhir sahaja belum cukup untuk kita simpulkan bahawa anak tak faham.

2. Tumpuan bersama dan petunjuk yang kita beri

Kadang-kadang, tanpa kita sedar, kita sendiri sudah memberi petunjuk. Contohnya, ibu bertanya “Mana kasut?” sambil melihat ke arah kasut. Anak mungkin ikut arah pandangan ibu. Tumpuan bersama ini memang sebahagian daripada komunikasi. Jadi, kita perlu perhatikan juga bagaimana respons anak apabila petunjuk yang diberikan berbeza.

Dalam permainan yang santai, cuba sebut arahan pendek seperti “Bagi mama kasut” tanpa terus menunjuk ke arah kasut. Tunggu sekejap. Jika anak perlukan bantuan, tunjuk atau beri contoh. Catat sama ada responsnya datang selepas perkataan, selepas ditunjuk atau selepas melihat contoh. Kita sedang mengumpul maklumat, bukannya mencari salah anak.

3. Mengikut rutin

Kanak-kanak memang bagus dalam mengikut rutin.. ada kalanya kita akan nampak anak boleh mengikut apa yang cikgu di sekolah arahkan. Contohnya apabila cikgu meminta semua kanak-kanak untuk beratur, jika anak anda seorang yang ‘observer’, mereka akan melihat apa yang dilakukan oleh kanak-kanak lain dan meniru pergerakan mereka.

Di rumah pun begitu. Anak mungkin sudah biasa meletakkan pinggan ke singki selepas makan atau membuang pembalut ke dalam tong sampah. Bila parents memberi arahan “Buang sampah ni”, rutin yang biasa itu boleh membantu dia bertindak. Baguslah anak sudah mengenali rutin! Cuma, untuk memahami kefahamannya dengan lebih jelas, kita perlu lihat juga respons dalam situasi lain.

4. Menggunakan objek mengikut kegunaannya

Contoh yang mudah untuk kita faham ialah bermain bola. Kita sebut “Baling bola”, lalu anak membalingnya. Anak mungkin memahami arahan itu, dan pengalaman bermain bola juga boleh membantu. Pada waktu lain, cuba arahan yang selamat seperti “Letak bola atas meja” atau “Beri bola pada mama”. Perhatikan responsnya dalam beberapa aktiviti yang berbeza.

5. Gunakan kedudukan dalam arahan

Kadang-kadang parents kurang memberi perhatian kepada perkataan kedudukan seperti dalam, luar, atas dan bawah. Contohnya, “Buang sampah dalam tong sampah.” Anak mungkin sudah tahu rutin itu. Jadi, cuba perhatikan penggunaan perkataan kedudukan dalam permainan yang lain pula.

Gunakan kotak dan mainan yang sesuai dengan umur anak. Kita boleh sebut “Letak mainan dalam kotak”, “Letak mainan atas kotak” atau “Keluarkan mainan dari kotak”. Beri satu arahan pada satu masa. Jika perlu, tunjukkan dahulu. Dengan cara ini, kita dapat melihat perkataan mana yang anak sudah kenal dan bahagian mana yang masih perlukan bantuan.

Jadi, maksudnya apa?

Maksudnya, kita kadang-kadang “assume” anak faham berdasarkan perkara yang sudah biasa dilakukan. Rutin memang membantu anak belajar, tetapi kefahaman bahasa perlu dilihat dengan lebih menyeluruh. Ambil kira umur, bahasa yang digunakan di rumah, minat, keletihan dan keadaan sekeliling juga.

Jika parents masih kerap tertanya-tanya “Anak saya faham semua arahan, tapi kenapa belum bercakap?”, dapatkan penilaian dengan ahli terapi pertuturan-bahasa atau doktor. Pemeriksaan pendengaran mungkin turut diperlukan. Bawa contoh respons anak supaya lebih mudah untuk berbincang. Tak rugi untuk kita tahu keperluan anak dengan lebih jelas, kan?

Bacaan berkaitan

Cara Mengajar Kosa Kata kepada Anak: Faham Dulu, Kemudian Guna

8 Tips Tarik Perhatian Anak Lambat Bercakap untuk Berinteraksi

Sumber tulisan dan rujukan

Artikel asal: Adakah Anda Yakin Anak Anda Betul-Betul Faham? Check This Out!, tulisan Aishah Kassim.

Rujukan tambahan: ASHA: mengenali kebimbangan pertuturan, bahasa dan pendengaran.

Perkongsian ini untuk pendidikan umum. Untuk kebimbangan khusus tentang perkembangan anak, dapatkan penilaian profesional.

Sumber asal: Aishah Kassim.

PROMOSI AKA

Perlu panduan untuk situasi anak anda?

Kongsi perkara yang anda perhatikan dan tanyakan pilihan sokongan kepada pasukan AKA.

Bacaan seterusnya

Ilustrasi ibu bapa berada pada paras anak dan bermain bersama.

8 Tips Tarik Perhatian Anak Lambat Bercakap untuk Berinteraksi

Nak anak seronok berinteraksi dengan kita? Saya kongsikan 8 tips daripada bersemuka dan guna sound effect, hingga menyertai minat serta meniru aksi anak.

Baca artikel →

Ilustrasi ibu bapa menamakan objek sebenar sambil bermain bersama anak.

Cara Mengajar Kosa Kata kepada Anak: Faham Dulu, Kemudian Guna

Kosa kata bukan setakat nama objek. Saya terangkan 3 langkah memilih perkataan, membantu anak faham dan memberi peluang untuk menggunakannya dalam rutin harian.

Baca artikel →