Pusat Ilmu / Bahasa & Pertuturan
Dah Tunggu, Tapi Anak Tak Cakap? Mungkin Dia Sudah Menjawab
Dah beri masa tetapi anak belum bercakap? Kenali respons melalui bunyi dan gerak isyarat, serta cara menyesuaikan masa menunggu dengan kemampuan anak.
Dikemas kini 10 November 2026 · 4 minit membaca
Dalam artikel ini

Oleh Aishah Kassim
“Bila saya tunggu anak respon, dia marah pula. Perkataan yang saya nak dengar tu tak keluar pun.” Parents pernah berdepan situasi macam ni? Kita dah belajar bahawa anak perlu diberi peluang untuk bercakap. Jadi, kita pun tunggu dia sebut “nak” atau “lagi”. Tetapi semakin lama kita tunggu, semakin dia tak senang duduk. Akhirnya dia marah, ataupun terus tinggalkan aktiviti tersebut. Sebelum kita kata teknik menunggu ni tak menjadi, jom tengok satu perkara dulu: adakah kita sedang menunggu respons anak, atau kita sebenarnya hanya menunggu perkataan yang kita nak dengar?
Anak Mungkin Sudah Memberi Respons
Kadang-kadang anak sebenarnya dah respon, cuma respons itu belum dalam bentuk perkataan. Dia mungkin mengeluarkan bunyi, menghulurkan tangan, menunjuk sesuatu atau menarik tangan kita untuk mengajak kita sambung bermain. Semua ini boleh menjadi cara anak menyampaikan sesuatu, bergantung pada situasi. Tetapi kita masih menunggu kerana dalam fikiran kita, “Belum lagi. Dia belum cakap ‘nak’.” Ha, dekat sinilah kita kena tengok semula jangkaan kita. Kalau anak sudah cuba memberitahu sesuatu melalui gerak isyarat, usaha itu juga perlu kita perhatikan dan sambut.
Kalau anak belum menggunakan sesuatu perkataan, kita tak boleh terus mengharapkan perkataan itu akan keluar hanya kerana kita menunggu lebih lama. Dia mungkin masih memerlukan bantuan untuk memahami dan belajar menggunakannya. Sebab itu, memberi peluang dan memberi contoh bahasa perlu berjalan bersama. Kita beri ruang untuk anak memberi respons, sambil membantu dia mengenali perkataan yang sesuai dengan perkara yang sedang berlaku.
Kenali Kemampuan Anak Sebelum Memilih Teknik
Sebelum memilih teknik, tengok dahulu bagaimana anak biasanya berkomunikasi. Adakah dia banyak menggunakan gerak isyarat? Adakah dia mengeluarkan bunyi tertentu untuk menyampaikan kehendaknya? Atau dia sudah mempunyai beberapa perkataan yang digunakan dengan bermakna? Pemerhatian ini membantu kita menentukan respons yang munasabah untuk dijangkakan. Kalau anak masih banyak menggunakan bunyi dan gerak isyarat, kita perlu menyambut bentuk komunikasi itu sambil terus memberi contoh perkataan.
Contohnya, apabila anak menghulurkan tangan untuk meminta mainan, kita boleh menyambut usahanya sambil menyebut, “Nak mainan,” kemudian memberikan mainan tersebut. Dengan cara ini, kita membantu anak menghubungkan perkataan dengan maksud dan situasi sebenar. Tak perlu jadikan sebutan yang tepat sebagai syarat setiap kali dia meminta. Kalau anak sudah menggunakan perkataan pula, kita boleh memberi ruang untuk dia mencubanya, tetapi tetap mengambil kira keadaan, keselesaan dan responsnya pada waktu itu.
Wujudkan Peluang dalam Aktiviti yang Anak Suka
Dalam kelas, saya beri contoh berhenti sekejap ketika melakukan aktiviti yang anak suka. Katakan kita sedang bermain bersama. Selepas beberapa giliran, kita berhenti sebentar dan perhatikan apa yang anak lakukan. Adakah dia cuba mengajak kita menyambung permainan? Mungkin dia memandang ke arah kita, bergerak mendekati kita, membuat isyarat atau mengeluarkan bunyi. Perhatikan respons itu dalam konteks permainan, kemudian sambut usahanya. Kita boleh memberikan contoh perkataan seperti “lagi” sebelum menyambung aktiviti tersebut.
Melalui pengalaman ini, anak mendapat peluang untuk menyampaikan sesuatu dan melihat bagaimana kita membalasnya. Yang kita nak bina ialah interaksi bersama, jadi pilih aktiviti yang anak selesa dan memang mahu teruskan. Berhenti sekejap itu bertujuan membuka ruang untuk dia mengambil bahagian. Kalau anak sudah menunjukkan bahawa dia tidak mahu meneruskan permainan, kita hormati respons tersebut dan ubah aktiviti mengikut kesesuaiannya.
Sesuaikan Masa Menunggu dengan Respons Anak
Berapa lama sebenarnya kita perlu tunggu? Masa menunggu tak sama untuk semua anak. Kalau saya beri contoh sepuluh saat dalam kelas, itu bukan bermaksud semua anak mesti menunggu sepuluh saat. Ada anak memerlukan sedikit masa untuk memberi respons, manakala ada pula yang cepat hilang minat apabila aktiviti terhenti terlalu lama. Sebab itu, parents kena perhatikan anak dan sesuaikan timing dengan situasi. Kita tidak semestinya perlu menunggu sehingga cukup satu tempoh tertentu sebelum boleh membantunya.
Kalau anak mula beralih kepada benda lain, mungkin jeda itu terlalu panjang untuk situasi tersebut. Cuba pendekkan masa menunggu, beri contoh bahasa yang ringkas dan sambung interaksi. Kalau anak nampak tertekan atau tidak mahu meneruskan aktiviti, berhenti dan ubah pendekatan. Kita mahu anak mendapat peluang untuk berkomunikasi dalam pengalaman yang menyeronokkan. Jadi, cara kita menunggu juga perlu membantu interaksi itu terus berjalan.
Bina Kemahiran Komunikasi Sedikit demi Sedikit
Kita memang nak dengar anak bercakap. Saya faham. Tetapi dalam usaha menuju ke situ, jangan sampai kita terlepas pandang komunikasi yang anak sudah tunjukkan. Hari ini mungkin dia meminta dengan gerak isyarat. Kita sambut, beri contoh perkataan dan sediakan lagi peluang yang sesuai dalam rutin harian. Perkembangan setiap anak berbeza, dan kemahiran ini dibina sedikit demi sedikit melalui banyak pengalaman bersama.
Jadi, apabila parents cuba memberi peluang selepas ini, perhatikan dahulu bagaimana anak membalas. Jangan terus menganggap usaha itu tidak menjadi hanya kerana perkataan yang kita tunggu belum keluar. Cuba tanya diri sendiri, “Anak belum jawab, atau sebenarnya dia dah jawab dengan cara yang dia mampu?” Soalan kecil ini boleh membantu kita lebih peka terhadap usaha anak dan menyesuaikan cara kita membantunya.
Diolah daripada pengajaran Aishah Kassim dalam kelas Kunci 6: Peluang — Bahagian 1.
PROMOSI AKA
Perlu panduan untuk situasi anak anda?
Kongsi perkara yang anda perhatikan dan tanyakan pilihan sokongan kepada pasukan AKA.