Anak Picky Eater? Tips Untuk Menggalakkan Anak-anak Makan!

Perkataan ‘picky eater’ merupakan perkataan yang kerap didengari dalam kalangan ibu-bapa yang mempunyai anak lingkungan 1 hingga 6 tahun. Picky eater selalu dilabel buat kanak-kanak yang memilih makanan dan sukar untuk menerima sesuatu makanan. Ciri-ciri yang biasa ditunjukkan oleh mereka adalah seperti berikut :

  1. Pilihan hanya terhad kepada sesuatu makanan
  2. Keinginan yang tinggi utk sesuatu makanan
  3. Pengambilan sesuatu makanan terhad (biasanya untuk makanan yang bersumberkan protein, sayur dan buah-buahan)

Picky eater sering dilihat terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang mempunyai masalah perkembangan namun boleh juga dilihat dalam kalangan kanak-kanak normal. Mereka yang mengalami masalah perkembangan akan mempunyai isu dari segi sensori dan tekstur, rasa terhadap sesuatu makanan dan juga menghadapi masalah untuk mengunyah dan menelan makanan. Secara kasarnya mereka akan menjadi seorang yang kurang fleksibel terhadap sesuatu perkara dan apatah lagi apabila berkaitan dengan makanan.

Apakah punca kanak-kanak menjadi picky eater ini? Pernahkan anda mendengar mengenai ‘neofobia’? Neofobia merupakan sejenis perasaan takut dan tidak suka kepada perkara yang baru atau perkara yang tidak familiar dalam kehidupan seharian. Bagi kanak-kanak, neofobia dapat dilihat apabila mereka menolak makanan baru yang diperkenalkan. Sebenarnya neofobia merupakan satu mekanisma pertahanan diri daripada memasukkan benda berbahaya di dalam mulut namun fobia ini akan hilang apabila kanak-kanak sudah tahu membezakan sesuatu benda. Mereka yang mempunyai fobia ini sekiranya tidak diberi pendedahan yang betul akan menyebabkan tidak suka kepada makanan baru yang diperkenalkan dan membawa kepada picky eater. Transisi umur bayi 6 bulan hingga setahun juga mempengaruhi samada kanak-kanak menjadi picky eater atau tidak. Perubahan tekstur dan jenis makanan yang berbeza perlu dititikberatkan semasa proses pengenalan makanan pelengkap bayi. Apabila bayi sudah pandai untuk makan makanan keluarga, peratus untuk mereka cenderung menjadi seorang picky eater akan berkurangan. Selain itu, pendedahan awal terhadap makanan segera(fast food) dan ‘junk food’ juga membuatkan kanak-kanak memilih dan sukar untuk makan. Bagi mereka, makanan berperisa seperti makanan tersebut paling sedap dan membuka selera mereka.

Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi menangani masalah picky eater. Topik kali ini akan membincangkan tips memperkenalkan makanan baru agar kanak-kanak dapat menerima makanan yang diperkenalkan kepada mereka.

 

Tips 1 : Biarkan anak bermain dengan makanan

Kanak-kanak mempelajari sesuatu dengan cara bermain dan meneroka sesuatu perkara yang baru. Oleh itu, ibu bapa perlu memberikan peluang agar kanak-kanak dapat meneroka makanan dengan cara menyentuh, bau, bermain, memasuk dan mengeluarkan semula makanan di dalam mulut. Sebagai contoh, ibu bapa boleh meletakkan makanan dalam pinggan yang kecil dan sekiranya anak tidak mahu makan janganlah memaksa tetapi biarkan sahaja anak memegang makanan tersebut. Lama kelamaan mereka akan mendapat keyakinan untuk makan dan menelan makanan tersebut.

 

Tips 2 : Pendedahan yang berulang kali terhadap sesuatu makanan baru

Kajian menunjukkan bayi dan kanak-kanak memerlukan 8-15 kali pendedahan (termasuk pegang, lihat dan rasa) sesuatu makanan sebelum mereka dapat menerima makanan baru. Pendedahan terhadap makanan penting untuk memberi keyakinan kepada anak bahawa tiada apa yang perlu ditakutkan atau geli kepada makanan. Oleh itu penting untuk ibu bapa memberi pendedahan walaupun memberi rasa dan makan dalam kuantiti yang kecil.

 

Tips 3 : Mulakan dengan makanan jejari (finger food)

Ibu bapa janganlah memberi harapan yang terlalu tinggi terhadap anak dengan mengharapkan anak mampu menghabiskan nasi sepinggan lengkap namun cukuplah sekadar anak dapat merasa makanan tersebut. Sebagai permulaan, ibu boleh menyediakan makanan jejari kerana makanan ini senang untuk dipegang dan dibawa masuk ke dalam mulut. Apabila anak sudah suka untuk makan, lebih senang untuk ibu bapa memperkenalkan makanan dalam bentuk yang pelbagai kepada anak.

 

Tips 4 : Menjadi role model buat anak

Lumrah kanak-kanak suka meniru perbuatan yang mereka nampak dalam kehidupan seharian mereka dan penerimaan sesuatu makanan anak lebih tinggi apabila orang sekeliling mereka makan makanan jenis yang sama. Oleh itu ibu bapa boleh menggunakan peluang ini dengan menjadi role model dalam membantu memperkenalkan makanan kepada anak. Minta bantuan daripada adik beradik yang lain untuk menunjukkan tabiat makan yang baik dan menerangkan bahawa sesuatu makanan itu sedap dan berkhasiat. Lama-kelamaan anak akan cuba merasa makanan apabila mendapat keyakinan setelah melihat dan mendengar apa yang diperkatakan oleh orang di sekeliling mereka.

 

Tips 5 : Cipta persekitaran waktu makan yang positif dan selitkan ganjaran

Elakkan memarahi anak ketika makan dan cipta persekitaran yang positif buat anak. Sekiranya anak tidak mahu makan jangan terlalu memaksa untuk makan tetapi minta mereka untuk duduk sekali di meja walaupun tidak mahu makan. Ibu bapa perlu membuat limit waktu makan antara 20-30 minit sahaja agar anak tidak berasa beban dan bosan dengan duduk terlalu lama di meja makan. Ibu bapa juga boleh memberi ganjaran kepada anak apabila mereka berjaya makan makanan baru yang diperkenalkan. Sebagai contoh mereka perlu makan walaupun sedikit barulah mereka dapat bermain di taman permainan.

Natijahnya, sokongan dan usaha ibu bapa serta adik beradik yang lain amat diperlukan dalam membantu memperkenalkan makanan buat anak yang mempunyai masalah picky eater. Kanak-kanak akan meniru perbuatan orang di sekeliling mereka jadi ibu bapa perlulah bijak mengambil peluang keemasan ini dengan mengamalkan pengambilan makanan yang sihat dan makanan yang kaya dengan nutrisi dalam diet seharian seisi keluarga. Elakkan anak daripada mengambil makanan segera dan junk food seperti keropok dan gula serta minuman manis kerana makanan seperti ini mampu membuatkan anak kenyang namun tidak memberikan sebarang khasiat buat anak anda. Akhir sekali, jangan berputus asa dan teruskan usaha membantu memperkenalkan apa-apa makanan yang baru buat anak picky eater. Walaupun mereka picky eater,namun ibu bapa perlu ingat mereka juga berhak mendapat bekalan nutrisi yang secukupnya dalam kehidupan mereka. Teruskan usaha dan cuba lagi !

mm

About Amalina Izati

“Lost opportunities, lost possibilities, feelings we can never get back. That’s part of what it means to be alive. But inside our heads – at least that’s where I imagine it – there’s a little room where we store those memories. A room like the stacks in this library. And to understand the workings of our own heart we have to keep on making new reference cards. We have to dust things off every once in awhile, let in fresh air, change the water in the flower vases. In other words, you’ll live forever in your own private library.” – Haruki Murakami, Kafka on the Shore